Isnin, 24 Februari 2020 | 12:56pm

Kekusutan politik rencat kelancaran pentadbiran negara

Sejak penubuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejurus Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018, iklim politik negara sentiasa panas.

Perbezaan dan kontroversi politik bukan sahaja membabitkan pertembungan di antara kerajaan dan pembangkang, bahkan yang lebih menarik perhatian ialah perbezaan dalam kalangan sesama parti dan individu dalam kerajaan sendiri.

Kekusutan berlaku merencatkan kelancaran pentadbiran dan memberi kesan tidak langsung kepada kemakmuran negara dan rakyat.

Perdebatan berkaitan peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri walaupun secara zahirnya kelihatan dimuktamadkan melalui mesyuarat Majlis Presiden PH pada Jumaat lalu, ia nampaknya merebak kepada krisis politik yang membawa kemungkinan perubahan gabungan politik.

Persoalannya, jika berlaku perubahan gabungan sedemikian, adakah ia menepati prinsip Perlembagaan?

Dalam sistem demokrasi di Malaysia, kerajaan ditubuhkan oleh gabungan parti yang memenangi pilihan raya. Pemimpin utama akan dinamakan sebagai Perdana Menteri dan parti yang menang menghantar pemimpin mereka untuk memegang jawatan dalam Kabinet.

Ini cara biasa berlaku selepas PRU, Perdana Menteri dan anggota Kabinet memegang jawatan sehingga Parlimen dibubarkan bagi membolehkan PRU berikutnya. Hal ini disebut dalam Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam tempoh itu, boleh berlaku pertukaran Perdana Menteri melalui peletakan jawatan secara sukarela bila-bila masa sahaja.

Bila berlaku kekosongan, proses pelantikan Perdana Menteri akan berlaku sama seperti selepas PRU, iaitu Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Selain itu, boleh juga berlaku perubahan atau rombakan anggota Kabinet tanpa membabitkan perubahan Perdana Menteri. Proses begini pernah berlaku dan ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bahkan, jika ada perubahan besar dalam perubahan sokongan politik, maka Perdana Menteri tetap boleh kekal memegang jawatan jika dapat mengekalkan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat walaupun daripada parti yang sebelum itu di luar kerajaan.

Oleh demikian, jika berlaku perpecahan dalam gabungan parti pemerintah, Perdana Menteri tidak perlu terus meletak jawatan, sebaliknya perlu mendapatkan sokongan parti lain bagi mencukupkan jumlah majoriti mudah, 112 daripada keseluruhan 222 ahli Dewan Rakyat.

Jika berjaya, beliau perlu menyembah maklum sokongan berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membolehkan kerajaan dapat terus berfungsi.

Serentak itu juga, beliau boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk rombakan Kabinet bagi melantik anggota dari kalangan Ahli Parlimen yang memberikan sokongan kepada kerajaan seperti diperuntukkan Perkara 43(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Jika berlaku demikian, penubuhan kerajaan begini adalah sebuah kerajaan yang sah dan berlandaskan prinsip Perlembagaan. Perubahan sebegini adalah satu bentuk penyelesaian yang disediakan dalam sistem Perlembagaan kita sebagai satu jalan keluar bagi merungkai kekusutan politik yang berlaku dalam negara.

Bagaimanapun, jika Perdana Menteri gagal mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat, beliau perlu meletak jawatan bagi memberi peluang kepada Yang di-Pertuan Agong memilih pemimpin baharu yang mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Jika enggan meletak jawatan, beliau boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen. Dalam situasi ini Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara, sama ada melakukan pembubaran seperti yang dinasihati atau tidak, bagi membolehkan kerajaan baharu dibentuk.

Kita berharap agar perkembangan terkini dalam negara membawa kepada penyelesaian terbaik untuk rakyat. Mudah-mudahan ia dapat meredakan ketidaktentuan politik yang berlaku dan meningkatkan kestabilan pemerintahan bagi memacu kemakmuran negara dalam menempuh cabaran mendatang.

* Penulis adalah Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan)

Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak

Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Berita Harian X