Selasa, 25 Februari 2020 | 9:40am
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima titah ucapan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad ketika merasmikan persidangan pertama mesyuarat penggal kedua Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat, Parlimen pada 11 Mac 2019. NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima titah ucapan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad ketika merasmikan persidangan pertama mesyuarat penggal kedua Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat, Parlimen pada 11 Mac 2019. NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN

Tun Mahathir boleh dilantik semula

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad boleh dilantik semula sebagai Perdana Menteri kelapan, sekiranya mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat.

Ia kerana Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri daripada kalangan ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti

Perkara itu dijelaskan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Osman, ketika diminta mengulas mengenai perletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, semalam.

“Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, namun beliau masih seorang Ahli Parlimen.

“Peruntukan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Agong boleh melantik mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat,” katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Abu Talib, berkata perlantikan itu perlu dilakukan dengan segera bagi membolehkan urusan pentadbiran negara berjalan dengan lancar.

Tambahnya lagi, pada masa yang sama tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan Timbalan Perdana Menteri menggantikan Perdana Menteri secara automatik.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali, mengesahkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim.

Katanya, pelantikan itu sementara menunggu Perdana Menteri baharu mengangkat sumpah jawatan selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Berita Harian X