Selasa, 25 Februari 2020 | 11:12am

Kuasa Perdana Menteri Interim ditentukan Agong

KUALA LUMPUR: Istilah “Perdana Menteri interim” tidak ada dalam Perlembagaan.

Oleh itu, definisi fungsi dan skop kuasa PM interim perlu merujuk kepada beberapa peruntukan berkaitan kuasa Yang Di-Pertuan Agong yang melantik PM interim, kuasa Perdana Menteri dan kaedah penubuhan kerajaan, serta keseluruhan semangat Perlembagaan itu sendiri.

Perlantikan PM interim ini berlaku selepas baginda berkenan menerima peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Ketua Setiausaha Negara (KSN) kemudian mengumumkan bahawa tugas-tugas anggota pentadbiran, merangkumi Timbalan Perdana Menteri, para menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik, adalah terhenti pada tarikh peletakan jawatan Perdana Menteri.

Penamatan fungsi ini adalah berdasarkan peruntukan Perkara 43(5) Perlembagaan.

Dari sudut Perlembagaan, peletakan jawatan seorang Perdana Menteri menyebabkan seluruh Kabinet tidak lagi berfungsi secara biasa.

Dengan lain perkataan, peletakan jawatan Perdana Menteri membawa maksud peletakan jawatan seluruh anggota Kabinet.

Prinsip ini dapat difahami dari Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan. Penamatan jawatan anggota kabinet dan pemegang lantikan politik lain di bawah Perkara 43(5) memperkukuhkan konsep ini.

Walau pun tiada kabinet, pentadbiran biasa kerajaan tetap berjalan tanpa terhenti.

Situasinya hampir sama dengan situasi pembubaran Parlimen. Konsep Raja Berperlembagaan yang berjalan seiring dengan konsep Demokrasi Berparlimen menjadikan sistem pentadbiran negara mampu terus utuh, stabil dan kukuh walau pun terdapat kekosongan dalam konteks perjawatan politik.

Dalam situasi ketiadaan anggota kabinet, Seri Paduka dapat melaksanakan peranan asasi baginda sebagai ketua utama negara.

Diperturunkan di sini beberapa peruntukan Perlembagaan berkaitan kedudukan Seri Paduka:

a. Perkara 32(1): Maka hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, digelar Yang di-Pertuan Agong, yang hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikenakan apa-apa jua pun prosiding di dalam mana- mana mahkamah kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV.

b. Perkara 39: Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.

c. Perkara 41: Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Pemerintah Tertinggi angkatan tentera Persekutuan.

Berdasarkan kuasa asas dimiliki ini, maka bagi melancarkan pentadbiran, baginda melantik Dr Mahathir sebagai PM interim.

Perkataan interim bermaksud sementara. Oleh itu, ia tentunya tertakluk kepada skop kuasa yang dihadkan dan tertakluk kepada arahan baginda dari masa ke semasa.

PM interim tidak mempunyai kuasa seperti Perdana Menteri biasa yang dilantik mengikut Perkara 43(2)(b), sebaliknya dilantik berteraskan kuasa Yang di-Pertuan Agong secara umum mengikut Perkara 32(1) dan Perkara 39. Ia juga dilantik bagi tujuan khusus yang dinyatakan dalam kenyataan KSN.

Dalam kenyataan KSN, disebut bahawa “Baginda telah berkenan untuk melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu.

Dinyatakan juga bahawa, “selaku Perdana Menteri interim, beliau akan menguruskan pentadbiran Negara sehingga Perdana Menteri dan ahli Kabinet yang baharu dibentuk.”

Berdasarkan kenyataan tersebut, peranan PM interim ini adalah terhad kepada dua fungsi, iaitu:

a. Menguruskan pentadbiran negara. Dalam hal ini skop kuasa PM interim hampir serupa dengan skop kuasa kerajaan sementara (caretaker government) yang berlaku selepas Parlimen dibubarkan.

b. Membantu bagi melancarkan proses pelantikan Perdana Menteri yang baharu.

Perlu diingatkan juga bahawa dalam pelantikan Perdana Menteri baharu YDPA mempunyai budi bicara yang mutlak berdasarkan:

a. Perkara 40(2) yang menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:

(i) melantik seorang Perdana Menteri;

(ii) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen; dan

b. Perkara 43(2)(b) yang menyebut Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

Pendapat atau hemat YDPA berkaitan seseorang yang “mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat” tidak boleh dicabar di mahkamah atau mana-mana tribunal. Jika ada pihak yang tidak puas hati, dia boleh mengemukakan usul tidak percaya di Dewan Rakyat kemudiannya.

Bahkan, dalam situasi tiada siapa yang memenuhi kriteria “mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat”, YDPA boleh menggunakan kuasa asasi Baginda untuk membubarkan Parlimen, demi kebaikan rakyat dan untuk menamatkan polemik yang ditimbulkan oleh pemimpin politik.

Ringkasnya, skop kuasa PM interim adalah tertakluk kepada kuasa YDPA yang mempunyai kuasa asas sebagai ketua utama negara. Perjalanan pentadbiran negara tidak terjejas dengan ketiadaan Kabinet.

Sementara menunggu urusan penubuhan kerajaan baharu selesai, seluruh rakyat wajar bersabar dan bertenang serta memberikan kesetiaan dan kepercayaan kepada Seri Paduka bagi merungkaikan kekusutan yang berlaku.

Penulis adalah Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan)

Pusat Polisi Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak

Universiti Teknologi Malaysia

Berita Harian X