Selasa, 25 Februari 2020 | 2:38pm

90 Ahli Parlimen dipanggil hadap Agong hari ini

KUALA LUMPUR: Hanya 90 Ahli Parlimen dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, di sini, hari ini.

Semua Ahli Parlimen itu bagaimanapun tidak dipanggil mengikut parti, sebaliknya pertemuan secara bersemuka dan rawak itu dilakukan mengikut kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, serta bermula jam 2.30 petang.

Sesi temu bual antara Ahli Parlimen dengan Yang di-Pertuan Agong itu julung kali diadakan, bertujuan menentukan sokongan kepada pihak tertentu bagi membentuk kerajaan baharu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, menjelaskan proses temu bual itu akan dilakukan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong dan disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Katanya, makluman kepada semua Ahli Parlimen berkenaan dilakukan pihak Istana Negara, semalam, dengan proses itu selaras Perkara 43 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, beliau berkata, Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak perlu menghadiri mana-mana sesi berkenaan kerana Ahli Parlimen Langkawi itu sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong, semalam.

Setiap Ahli Parlimen diperuntukkan antara dua hingga tiga minit untuk menyatakan pandangan masing-masing, sepanjang proses temu bual berlangsung.

“Baki 131 Ahli Parlimen akan dipanggil menghadap baginda, esok, selain keseluruhan proses temu bual ini dijangka tamat pada jam 7 malam nanti.

“Kita tidak boleh mendedahkan siapa Ahli Parlimen yang dipanggil menghadap baginda, hari ini. Bagaimanapun, tiada sesiapa bekas menteri atau timbalan menteri yang akan menyertai sesi ini.

“Baginda perlu mendapatkan kepercayaan dan keyakinan kepada seseorang yang dipilih (Perdana Menteri). Temu bual tidak mengikut parti, sebaliknya berdasarkan individu,” katanya pada sesi taklimat ringkas di Pintu Utama Istana Negara, di sini, hari ini.

Proses berkenaan adalah lanjutan daripada pengumuman Mohd Zuki berhubung penerimaan Yang di-Pertuan Agong ke atas peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Baginda juga berkenan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim sementara menunggu pelantikan perdana menteri baharu, selaras Perkara 43 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan Perkara 43 (2) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong perlu mendapat kepercayaan kepada seseorang dipilih daripada mana-mana Ahli Parlimen yang pada hemat baginda menerima daripada majoriti ahli Dewan Rakyat.

Ahmad Fadil berkata, ketika ini Istana Negara tidak menetapkan jangka masa khusus bagi melantik perdana menteri baharu, selain sebarang perkembangan mengenainya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Baginda turut bertitah bahawa keadaan sekarang adalah aman seperti mana yang kita lihat di Istana Negara dan proses ini dijangka akan berterusan bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih daripada Yang di-Pertuan Agong kepada pihak media,” katanya.

Berita Harian X