Selasa, 25 Februari 2020 | 3:32pm

Air mata iringi perpisahan

PUTRAJAYA: Suasana pilu menyelubungi kakitangan di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini, apabila Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail datang mengucapkan selamat tinggal susulan pembatalan lantikan jawatannya semalam.

Dr Wan Azizah yang memuat naik video perpisahan itu di akaun Facebook rasminya, dilihat bersalam-salaman dengan kakitangan kementerian yang diterajuinya sejak Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei 2018.

Beliau dilihat menitiskan air mata ketika memeluk dan menenangkan kakitangan yang bersedih dengan perpisahan itu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut menitipkan entri ketika menyantuni kakitangan kementerian.

“Sebelum mengundur diri, saya menyantuni warga pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilihat menitiskan air mata ketika memeluk dan menenangkan kakitangan yang bersedih dengan perpisahan itu.
DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilihat menitiskan air mata ketika memeluk dan menenangkan kakitangan yang bersedih dengan perpisahan itu.

“Khidmat dan jasa bakti mereka sepanjang saya menggalas amanah sangat saya hargai," katanya.

Terdahulu, Dr Wan Azizah dipercayai menghadiri satu majlis perpisahan yang diadakan di kementeriannya.

Pagi tadi, beliau dan anaknya, Nurul Izzah Anwar, dilihat memasuki Bangunan Perdana Putra pada jam 10.25 pagi dan beredar kira-kira sejam kemudian.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam membatalkan pelantikan semua menteri atas nasihat Perdana Menteri.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, dalam satu kenyataan berkata, perkara itu adalah selaras dengan peruntukan Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan, seiring peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersalam-salaman dengan kakitangan di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), hari ini.
DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersalam-salaman dengan kakitangan di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), hari ini.
Berita Harian X