Rabu, 26 Februari 2020 | 8:02am

66 rakyat Malaysia dari Wuhan selamat tiba

PUTRAJAYA: Seramai 66 rakyat Malaysia dari Wuhan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6.50 pagi tadi.

Mereka tiba di KLIA dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe, Wuhan dengan menaiki penerbangan AirAsia AK8265.

Setiba di KLIA, mereka perlu menjalani saringan kesihatan sebelum dibawa ke Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang terletak di Nilai bagi proses kuarantin selama 14 hari.

Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam satu kenyataan kemudian, memaklumkan mereka yang dibawa pulang membabitkan 66 individu dengan 46 adalah warganegara, manakala 20 lagi bukan warganegara yang bermastautin di Wuhan dan kawasan sekelilingnya.

“Di samping itu, pesawat juga telah membawa 12 kru penerbangan dan sembilan wakil agensi kerajaan dari Malaysia di samping dua pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beijing (Advance Team).

“Semua 66 orang, 46 rakyat Malaysia dan 20 tanggungan (pasangan dan anak) bukan warganegara telah pun melepasi tapisan kesihatan yang dibuat oleh Kerajaan China sebelum dibenarkan menaiki pesawat,” kata kenyataan berkenaan.

Menurut NADMA, walaupun sebelum ini jumlah yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di China adalah 75 orang, enam yang hadir di lapangan terbang tidak dapat menaiki pesawat kerana tidak melepasi saringan kesihatan yang diadakan di lapangan terbang.

“Seorang telah menarik diri atas faktor kesihatan tanpa hadir ke lapangan terbang, seorang tidak dapat turut serta disebabkan komitmen kerja.

“Seorang rakyat Malaysia yang dijadualkan dalam penerbangan ini tidak dapat meninggalkan Wuhan atas masalah logistik, mengalami kesukaran mendapatkan kenderaan untuk ke lapangan terbang,” katanya.

Sebaik mendarat, mereka dibawa menaiki bas ke Air Disaster Unit (ADU) untuk melalui tapisan kesihatan dan selepas itu, dibawa menaiki bas ke pusat pemantauan di AKEPT.

“Mereka yang tidak melepasi saringan kesihatan akan dihantar terus ke hospital yang telah ditetapkan. Pusat Pemantauan di AKEPT akan diselia oleh petugas-petugas kesihatan dari Kementerian Kesihatan.

“Di sini, perhubungan adalah terhad kepada petugas kesihatan sahaja. Selain petugas kesihatan tidak ada perhubungan dengan pihak luar yang dibenarkan, termasuk ahli keluarga.

“Justeru, ahli keluarga atau rakan diminta memahami situasi ini dan hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pelaksanaan pemantauan ini. Untuk tujuan keselamatan, lokasi ini dikawal oleh polis,” kata kenyataan itu lagi.

Saringan kesihatan akan dibuat dua kali sehari bagi memastikan mereka benar-benar sihat dan boleh dibenarkan keluar setelah tamat proses pemantauani.

“NADMA telah dan sedang menghubungi keluarga terdekat bagi memaklumkan ketibaan dan memberi penerangan berkaitan proses pemantauan yang perlu dilalui,” kata agensi itu.

Kerajaan Malaysia ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terbabit dalam memastikan misi bantuan kemanusiaan membawa pulang rakyat Malaysia dan pasangan serta anak mereka berjalan lancar dan semua selamat tiba di Malaysia.

Kejayaan misi kali kedua ini adalah hasil kerjasama pelbagai agensi kerajaan, termasuk Kementerian Luar Negeri, Kementerian Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Imigresen Malaysia dan AKEPT yang diselaraskan NADMA.

“MAHB dan AirAsia juga telah memberi kerjasama dalam menjayakan misi ini. Hubungan baik dan kerjasama erat Kerajaan Malaysia dan China juga menjadi penyumbang utama kejayaan ini. Sudah pasti ia menggambarkan hubungan persahabatan yang kukuh antara kedua-dua negara,” kata kenyataan itu.

Seramai 66 rakyat Malaysia dari Wuhan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6.50 pagi tadi. - Foto Kementerian kesihatan
Seramai 66 rakyat Malaysia dari Wuhan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6.50 pagi tadi. - Foto Kementerian kesihatan

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X