Rabu, 26 Februari 2020 | 1:54pm
Al-Sultan Abdullah berkenan beramah mesra dengan wakil media di pekarangan pintu masuk pintu 2 Istana Negara semalam. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Al-Sultan Abdullah berkenan beramah mesra dengan wakil media di pekarangan pintu masuk pintu 2 Istana Negara semalam. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Seri Paduka redakan 'suhu panas'

KUALA LUMPUR: Tiga baris ayat dititipkan Yang di-Pertuan Agong, sudah cukup meredakan ‘suhu panas’ ekoran rentetan kemelut politik yang melanda negara sejak tiga hari lalu.

Selepas kemuncaknya kelmarin apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan meletakkan jawatan Perdana Menteri, disusuli namanya diangkat sebagai Perdana Menteri interim, tumpuan kembali beralih kepada proses transisi ke arah pembentukan kerajaan baharu.

“We are very concerned. Be patient. Let me do my duty. I hope to find the best solution for the country.” (Kita amat prihatin. Bersabarlah, biar saya laksanakan tanggungjawab. Saya berharap dapat mencari jalan penyelesaian terbaik demi negara).

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah dalam bahasa Inggeris ketika menyampaikan bungkusan makanan segera kepada kumpulan petugas media yang ‘berkampung’ di luar pintu Istana Negara tengah hari semalam.

Walaupun ringkas, ia mempunyai konotasi tersurat bagaimana usaha baginda selaku ketua negara dalam menegakkan prinsip demokrasi dan kerajaan berdaulat selaras perkembangan politik muktahir ini.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memberitahu, bermula semalam dan hari ini, baginda akan mengadakan sesi ‘bersemuka’ dengan semua Ahli Parlimen di Istana Negara.

Ahmad Fadil menyampaikan taklimat kepada media di pekarangan Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Ahmad Fadil menyampaikan taklimat kepada media di pekarangan Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Sesi temu bual 222 Ahli Parlimen dengan Yang di-Pertuan Agong itu julung kali diadakan, bertujuan menentukan sokongan kepada calon Perdana Menteri kelapan.

Sehingga lewat petang semalam, 90 Ahli Parlimen sudah menghadap Al-Sultan Abdullah dengan disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Hari ini, baki 131 Ahli Parlimen akan menghadap baginda dengan prosedur sama apabila diberi masa dua hingga tiga minit seorang menyatakan pendirian mereka.

“Baginda perlu mendapatkan kepercayaan dan keyakinan kepada seseorang yang dipilih (Perdana Menteri). Temu bual tidak mengikut parti, sebaliknya berdasarkan individu,” katanya Datuk Pengelola Bijaya Diraja.

Proses berkenaan adalah lanjutan daripada pengumuman Mohd Zuki, kelmarin berhubung penerimaan Yang di-Pertuan Agong ke atas peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Baginda kemudian berkenan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim sementara menunggu pelantikan perdana menteri baharu, selaras Perkara 43 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut Perkara 43 (2) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong perlu mendapat kepercayaan kepada seseorang dipilih daripada kalangan Ahli Parlimen yang pada hemat baginda menerima sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Memberikan ‘mood’ dan gambaran isi perbincangan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hanya menjawab: “Kita berbincanglah.”

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said, berkata Yang di-Pertuan Agong bertanya mengenai siapa yang disokongnya sebagai Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat yang juga Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), pula berkata semua wakil rakyat diberi pilihan menamakan calon Perdana Menteri kelapan atau memilih untuk membubarkan Parlimen.

“Tiada perbincangan, cuma isi borang siapa yang hendak dipilih sebagai Perdana Menteri,” kata Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Ketua Whip GPS di Dewan Rakyat.

Walaupun bergelar Perdana Menteri interim, Dr Mahathir terus mendapat sokongan padu daripada parti politik, sama ada Pakatan Harapan (PH), mahupun pembangkang yang sudah menyatakan sokongan mereka kepada kepemimpinan beliau.

Awal pagi semalam, beberapa pemimpin BERSATU membuat kunjungan ke kediaman Dr Mahathir di Seri Kembangan, dengan misi memujuknya untuk kekal sebagai Perdana Menteri dan kembali sebagai Pengerusi BERSATU.

Antara yang dilihat tiba ialah Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Seri Rina Harun.

Malam kelmarin, kumpulan 11 Ahli Parlimen diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang keluar daripada PKR dan PH turut menegaskan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Dr Mahathir untuk kekal sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

Perkembangan terkini landskap politik negara dengan beberapa pengumuman mengejutkan semalam dan kelmarin, turut mengubah komposisi kerusi di Dewan Rakyat, khususnya membabitkan kerusi milik PH.

Setakat malam tadi, PH mempunyai 92 kerusi Parlimen, berikutan tindakan 11 daripada 50 anggota PKR diketuai Mohamed Azmin, keluar parti dan BERSATU yang mempunyai 26 wakil rakyat mengumumkan keluar gabungan itu.

Ini menjadikan komposisi kerusi milik PH yang kini terdiri daripada DAP ialah 42 kerusi, PKR (39), Amanah (11), berbanding 129 kerusi yang dimilikinya sebelum ini.

Selain gabungan rakan sekutu PH di Semenanjung, dua parti di Sabah iaitu Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang mempunyai sembilan kerusi dan UPKO satu kerusi adalah parti mesra PH.

Baki 83 kerusi di Dewan Rakyat adalah milik komponen Barisan Nasional (BN) (42), iaitu UMNO (39), MCA (dua) dan MIC satu kerusi.

PAS memiliki 18 kerusi, manakala Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai 18 kerusi - terdiri daripada PBB (13), PRS dan PDP masing-masing dua kerusi, SUPP (1) serta Parti Sarawak Bersatu (PSB) (1).

Empat lagi kerusi masing-masing milik PBRS (1), PBS (1), Star (1) di Sabah dan seorang wakil rakyat Bebas.

Dr Mahathir yang mencatat sejarah sebagai satu-satunya Perdana Menteri interim mempunyai hari yang sibuk semalam, mengadakan perjumpaan dengan ketua parti politik di pejabatnya di Putrajaya.

Antaranya, Muhyiddin, Mohamed Azmin, Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu.

Hari ini, Dr Mahathir dijangka bertemu Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Pertemuan itu seakan memberi isyarat Perdana Menteri mengusahakan sebuah kerajaan perpaduan disertai semua parti politik.

Sementara itu, petang semalam, GPS menyatakan pendirian menyokong penuh kepemimpinan Dr Mahathir untuk terus menerajui negara.

Setiausaha Agung GPS, Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata sokongan itu sudah dimaklumkan secara rasmi oleh Abang Johari, Ahad lalu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Dr Mahathir dalam pertemuan mereka di Kuala Lumpur.

Fokus kemelut politik negara pastinya masih berlegar kepada gerakan parti politik khususnya BERSATU, yang telah mengisytiharkan ‘bercerai’ daripada sekutunya dalam gabungan PH.

PH yang kini dianggotai DAP, PKR dan AMANAH, mengadakan mesyuarat Majlis Presiden malam tadi, manakala UMNO dan PAS pastinya masih mencatur strategi demi kelangsungan politik mereka.

Gabungan BN, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan PAS semalam menarik balik sokongan mereka kepada Dr Mahathir yang menurut Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, hal itu dibuat kerana Dr Mahathir didakwanya mahu membentuk kerajaan perpaduan dengan penyertaan DAP yang bercanggah dengan pendirian mereka.

Sehubungan itu, mereka menyatakan pendirian kepada Yang di-Pertuan Agong agar Parlimen dibubarkan dan kembalikan mandat kepada rakyat untuk menentukan kerajaan baharu.

Dalam pada itu, bercakap kepada media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH malam tadi, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, berkata partinya berpendapat tidak perlu diadakan PRU kerana yakin PH memiliki sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata PKR, DAP dan AMANAH sudah mencapai persetujuan mengenai perkara yang akan dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Dalam merungkai kemelut politik negara, Yang di-Pertuan Agong turut menerima menghadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang untuk mendengar taklimat berkaitan keselamatan.

Berita Harian X