Rabu, 26 Februari 2020 | 6:23pm
Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan perutusan khas di Bangunan Perdana Putra yang disiarkan menerusi semua rangkaian televisyen, radio dan media sosial RTM pada 4.45 petang ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan perutusan khas di Bangunan Perdana Putra yang disiarkan menerusi semua rangkaian televisyen, radio dan media sosial RTM pada 4.45 petang ini. - Foto BERNAMA

Banyak sebab saya letak jawatan - Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menjelaskan tindakannya melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri, Isnin lalu berpunca daripada banyak sebab.

Antaranya beliau gagal memilih pihak mana yang patut dipilih kerana kononnya mendapat sokongan daripada semua pihak.

Katanya, selain itu, terdapat juga tuduhan bahawa beliau tidak berniat untuk melepaskan jawatan dan dianggap gila kuasa.

“Maka saya letak jawatan kerana saya tidak melihat kuasa dan jawatan itu sebagai “be all and end all” adalah matlamat saya.

“Bagi saya kuasa dan kedudukan itu adalah “a means to an end” ataupun satu alat untuk mencapai objektif. Dan objektif kita semua tentulah untuk kebaikan negara.

“Kerana itu saya meletak jawatan kerana bagi saya, ternampak bahawa bagi orang politik yang terpenting ialah parti mana yang memerintah, sama ada yang kalah atau yang menang,” katanya dalam perutusan khas Perdana Menteri interim, hari ini.

Dr Mahathir menegaskan, beliau sudah berjanji akan meletak jawatan untuk memberi peluang kepada Dewan Rakyat menentukan siapa yang akan menggantinya.

“Jika benarlah saya masih disokong, saya akan kembali. Jika tidak saya akan terima siapa sahaja yang dipilih.

“Jadi peluang untuk menukar kepimpinan memang ada. Hanya saya berpendapat oleh kerana saya disokong oleh kedua-dua pihak, masa untuk saya letak jawatan belum tiba,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir menyedari peletakan jawatan itu mencetuskan keadaan politik negara yang kucar kacir dan mungkin menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat

Ahli Parlimen Langkawi itu turut mengakui sebagai manusia biasa, beliau tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan.

“Saya tidak sunyi dari melakukan kesilapan. Saya pohon maaf jika peletakan jawatan oleh saya adalah salah,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X