Rabu, 26 Februari 2020 | 8:11pm
Gambar fail, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa. - Foto Asyraf Hamzah
Gambar fail, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa. - Foto Asyraf Hamzah

'Pendirian parti politik letakkan kedudukan Parlimen tergantung'

KUALA LUMPUR: Pendirian parti politik dalam menentukan arah tuju politik negara termasuk dalam pelantikan jawatan Perdana Menteri dan pembentukan kerajaan baharu bakal menjurus kepada kedudukan Parlimen tergantung.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, mendakwa sebarang cara kini hanya bakal mencampakkan negara ke gaung masalah yang lebih dalam.

“Berdasarkan kenyataan media Muafakat Nasional dan BN (Barisan Nasional) serta DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim), TM (Tun Dr Mahathir Mohamad), sumber, semakin ketara bakal wujud situasi ‘Parlimen tergantung’.

“Apa pun perlembagaan menetapkan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai ‘discretionary power’ (kuasa budi bicara) berkaitan pembubaran Parlimen. Semua kita wajib patuh dan setia,” katanya menerusi ciapan di Twitter beliau, hari ini.

Katanya, keadaan politik negara sangat tidak menentu, hanya rakyat boleh menyelesaikan kemelut yang berlaku ketika ini.

“Sebarang cara lain bakal mencampakkan negara ke gaung masalah yang lebih dalam, berdoalah kita rakyat dan ummah agar Yang di-Pertuan Agong berkenan membubarkan Parlimen,” katanya.

Berdasarkan kenyataan beberapa gabungan parti politik ketika ini, menunjukkan tidak ada gabungan yang memperoleh mandat 112 kerusi Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baharu.

UMNO, BN, PAS dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) semalam mempersembahkan cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen dibubarkan tanpa mengemukakan mana-mana individu sebagai calon Perdana Menteri.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan kumpulan Ahli Parlimen yang bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Sementara Pakatan Harapan yang membentuk 92 sokongan Ahli Parlimen mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X