Khamis, 27 Februari 2020 | 12:42pm

Mukhriz kekal Menteri Besar Kedah

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) bagi mengekalkan kerajaan negeri Kedah sedia ada.

Mukhriz berkata, keputusan itu dicapai selepas semua parti bersetuju membentuk gabungan PH campur Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) peringkat Kedah.

Katanya, keputusan itu juga sudah dipersembah kepada Sultan Kedah, Sultan Sallahuddin Badlishah yang memberi perkenan kerajaan negeri diteruskan seperti biasa di bawah kepimpinan beliau.

“Adalah dimaklumkan ADUN PH dan BERSATU sudah menyatakan sokongan kepada saya untuk kekal menjadi Menteri Besar Kedah dan kami sepakat bersetuju supaya kerajaan negeri dikekalkan.

“Kerajaan negeri ini adalah gandingan PH dan BERSATU dan kesepakatan ini bagi menjamin urusan negeri berjalan seperti biasa.

“Saya sudah menghadap Sultan Kedah, Sultan Salahuddin Sultan Badlishah dan baginda berkenaan mendengar penjelasan mengenai situasi semasa politik negara dan negeri,” katanya pada sidang media di Seri Mentaloon, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi PKR negeri, Datuk Johari Abdul, Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) negeri, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Pengerusi DAP negeri, Tan Kok Yew.

Mukhriz menjelaskan, beliau juga sudah mempersembahkan warkah penzahiran sokongan terhadapnya daripada 18 ADUN PH dan BERSATU kepada Sultan Kedah.

“Tuanku berkenaan menerima warkah dan memperkenan agar saya terus memegang jawatan Menteri Besar Kedah.

“Kami berharap rakyat bertenang dan bersikap rasional kerana pentadbiran kerajaan negeri tidak terjejas oleh perkembangan di peringkat Pusat.

“Kita juga mendoakan pemilihan kepimpinan di peringkat kerajaan Persekutuan akan selesai dengan baik,” katanya.

Mukhriz menjelaskan keputusan ini sudah mendapat restu Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad dan dimaklumkan kepada pimpinan tertinggi BERSATU.

“Rakan PH juga tidak meletak apa-apa syarat (bagi membentuk kerajaan negeri PH campur BERSATU) dan kita terima pelawaan untuk bersama PH dan kekalkan kerajaan sedia ada.

“Kita harap polemik di peringkat Pusat tidak berpanjangan kerana ia tidak memberi manfaat kepada sesiapa.

“Saya ingin mengingatkan kerajaan negeri berfungsi seperti biasa dan semua EXCO, Ahli Majlis dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) boleh hadir mesyuarat seperi biasa,” katanya.

Malam tadi, Mukhriz mengadakan pertemuan bersama barisan EXCO Kedah di kediaman rasminya, Seri Mentaloon di sini, malam tadi.

Pertemuan lebih dua jam itu dipercayai bagi membincangkan kedudukan kerajaan negeri susulan perpecahan PH dan peletakan jawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beberapa EXCO dilihat memasuki Seri Mentaloon kira-kira jam 8.45 malam sebelum meninggalkan pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar secara berperingkat kira-kira jam 11 malam.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (tengah) bersama Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi (dua dari kanan), Datuk Johari Abdul (kanan) dan Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew (dua dari kiri) selepas sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon. - NSTP/Amran Hamid
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (tengah) bersama Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi (dua dari kanan), Datuk Johari Abdul (kanan) dan Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew (dua dari kiri) selepas sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon. - NSTP/Amran Hamid
Berita Harian X