Khamis, 27 Februari 2020 | 4:40pm
Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP di Pudu. - Foto Hairul Anuar Rahim
Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP di Pudu. - Foto Hairul Anuar Rahim

Dr Mahathir tolak penuhi manifesto - Guan Eng

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa menolak untuk terus memenuhi Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang menjadi panduan empat parti komponen mentadbir negara dalam tempoh 21 bulan lalu.

Sebelum tercetus kemelut politik tanah air sejak hujung minggu lalu, PH ditunjangi PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH), DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata walaupun empat parti itu mempunyai ideologi dan aspirasi berbeza, kepemimpinan tertinggi berjaya mencapai titik persamaan dan terikat dengan manifesto yang dipersetujui bersama.

“Manifesto PH inilah yang menjadi panduan untuk menyatukan kami dan mentadbir negara di bawah kepemimpinan Dr Mahathir seperti dijanjikan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

“Dalam perbincangan saya dengannya di Pejabat Perdana Menteri pada 25 Februari lalu, beliau menolak untuk kekal sebagai Perdana Menteri PH dan menolak untuk terus memenuhi janji-janji Manifesto PRU PH,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, berkata sejak 21 bulan lalu, kerajaan yang diterajui PH bekerja keras untuk memenuhi janji manifesto secara berperingkat.

“Antaranya penurunan kadar tol untuk Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sebanyak 18 peratus bagi kenderaan persendirian dengan jaminan tidak ada sebarang kenaikan kadar tol sehingga tamat tempoh konsesi.

“Selain itu projek MySalam yang menawarkan bantuan kewangan bernilai antara RM4,000 sehingga RM8,000 untuk mereka yang menghidapi satu daripada 45 penyakit kritikal,” katanya.

Katanya, kerajaan PH turut memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan diganti dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), selain membayar semula pemulangan kutipan GST berjumlah RM19.4 bilion.

Guan Eng berkata, kerajaan PH turut mengekalkan kedudukan kredit antarabangsa negara walaupun kerajaan terpaksa membayar berpuluh bilion ringgit kerana skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Lembaga Tabung Haji (TH) dan beberapa skandal lain.

Di samping itu, kerajaan PH turut menyambung semula projek infrastruktur utama selepas mencapai penjimatan lebih daripada RM50 bilion melalui rundingan semula dan rasionalisasi projek kerajaan terdahulu.

“Kerajaan turut mempercepatkan proses digitalisasi melalui penggalakan penggunaan e-dompet, mencipta 350,000 peluang pekerjaan untuk mereka yang menganggur melalui projek MalaysiaKerja bernilai RM6.5 bilion, dan pelbagai inisiatif lain lagi,” katanya.

Berita Harian X