Khamis, 27 Februari 2020 | 7:15pm
Setiausaha Agong UMNO, Tan Seri Annuar Musa, pada sidang media selepas perjumpaan ketua bahagian UMNO di Menara Dato Onn, PWTC. - Foto Fathil Asri
Setiausaha Agong UMNO, Tan Seri Annuar Musa, pada sidang media selepas perjumpaan ketua bahagian UMNO di Menara Dato Onn, PWTC. - Foto Fathil Asri

Tun M antara punca kemelut politik - UMNO

KUALA LUMPUR: UMNO mendakwa Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai sebahagian punca kemelut politik yang menyelubungi negara ketika ini.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata justeru parti itu melihat Dr Mahathir perlu memikul sedikit tanggungjawab terhadap kecelaruan semasa, yang menyebabkan negara ‘hilang’ kerajaan sejak empat hari lalu.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai perkara yang dilakukan Dr Mahathir hingga disifatkan sebagai sebahagian daripada kecelaruan politik itu.

“UMNO amat memahami situasi yang sedang dilalui oleh Yang Amat Berhormat Tun (Dr Mahathir) pada masa ini.

“Masalah yang sedang dihadapi negara pada masa ini sedikit sebanyak adalah berpunca daripada Yang Amat Berhormat Tun sendiri,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat bersama 180 Ketua Bahagian UMNO di Menara Dato’ Onn di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas ucapan Dr Mahathir yang disiarkan secara langsung semalam, yang menyebut bahawa beliau sanggup menerima ahli UMNO yang keluar daripada parti itu, namun tidak dapat menerima jika UMNO menyertai kerajaan campuran sebagai sebuah parti.

Annuar berkata, kenyataan Dr Mahathir itu menyinggung perasaan kebanyakan ahli UMNO, namun menasihatkan mereka yang terguris hati supaya kekal bersabar dan berlapang dada dengan menunjukkan sikap yang baik dan berjiwa besar.

“Kepada Tun, kami ahli UMNO doakan kesihatan yang baik dan hati yang tenang,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X