Jumaat, 28 Februari 2020 | 10:24am
Perdana Menteri Interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad tiba di Yayasan AlBukhary untuk penjumpaan bersama dengan Ahli Parlimen BERSATU. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Perdana Menteri Interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad tiba di Yayasan AlBukhary untuk penjumpaan bersama dengan Ahli Parlimen BERSATU. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Dr M jumpa Ahli Parlimen BERSATU

KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mulai kelihatan di Yayasan Al-Bukhary, di sini, bagi menghadiri mesyuarat khas, pagi ini.

Seperti kelaziman, Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad, menjadi pemimpin pertama tiba di pekarangan yayasan pada jam 9.10 pagi tadi dengan menaiki kenderaan jenis Mercedes berwarna hitam.

Ia disusuli beberapa ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, termasuk Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua ARMADA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik.

Ketibaan pemimpin bersilih ganti di yayasan dilihat turut mendapat sorakan sekumpulan penyokong parti yang mula berhimpun sejak jam 9 pagi.

Bagaimanapun, tanda tanya timbul susulan kehadiran beberapa bekas pemimpin PKR seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Zuraida Kamaruddin, kira-kira jam 10.10 pagi.

Mesyuarat khas ini dijangka membincangkan beberapa agenda, termasuk pembentukan kerajaan perpaduan pada peringkat negeri dan cadangan untuk mengetengahkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri mewakili BERSATU.

Berita Harian X