Jumaat, 28 Februari 2020 | 3:59pm

SKMM peruntuk RM3b laksana 6 inisiatif NFCP

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperuntukkan RM3 bilion bagi pelaksanaan enam inisiatif projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) sepanjang tahun ini.

Pengerusinya, Al-Ishsal Ishak, berkata pelaksanaan projek NFCP akan dipercepatkan susulan pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 oleh Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam.

Katanya, ia berada di bawah pengkhususan strategi tiga iaitu menggalakkan pelaburan berkualiti.

Pelaksanaan NFCP itu, katanya, akan menambah baik kelajuan perkhidmatan jalur lebar talian tetap dan meluaskan liputan 3G serta 4G, selain menyediakan asas bagi rangkaian baharu 5G untuk mengurangkan jurang digital, sekali gus berupaya melonjakkan tahap sosioekonomi rakyat.

“Enam projek NFCP ini akan menambah baik kesalinghubungan digital di seluruh negara, selain memastikan kesinambungan pelaburan awam kepada industri melalui Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS).

“NFCP akan merangsang pelaburan dan inovasi dalam industri berkaitan, selain dianggar berupaya mewujudkan hampir 20,000 peluang pekerjaan baharu sepanjang lima tahun tempoh pelaksanaan, ” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Al-Ishsal berkata, SKMM turut bekerjasama dengan industri komunikasi dan multimedia untuk membangunkan lebih banyak inisiatif yang memanfaatkan pengguna secara langsung.

Katanya, pengumuman mengenai inisiatif itu akan dibuat dalam masa terdekat.

“Pelaburan dalam infrastruktur digital penting untuk negara menongkah arus Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) demi merangsang pertumbuhan ekonomi, khususnya ketika berdepan isu seperti wabak COVID-19 dan keadaan ekonomi global yang mencabar,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif pertama NFCP bermula 15 Februari lalu, manakala pelan kedua dalam proses penerimaan dokumen cadangan daripada pemegang lesen yang layak bagi peluasan liputan perkhidmatan selular awam di pelbagai negeri.

Katanya, NFCP ketiga menyasarkan penyediaan rangkaian gentian optik dan perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan sehingga 500 megabait sesaat (Mbps) di 100,000 premis komersial dan kediaman di 74 buah bandar antaranya Kudat (Sabah); Serian (Sarawak), Labis (Johor) dan Sekinchan (Selangor).

“Dokumen permintaan untuk cadangan NFCP tiga yang memperkenalkan ‘pendekatan pelaburan padanan’ dikeluarkan 14 Februari lalu dengan tarikh akhir menghantarnya pada 12 Mei ini.

“NFCP empat membabitkan penyediaan kesalinghubungan di 151 perkampungan Orang Asli. Permintaan untuk cadangan untuk projek ini dijangka dikeluarkan pada suku kedua 2020, ” katanya.

Beliau berkata, NFCP lima ialah menaik taraf 377,360 pengguna rangkaian jalur lebar tembaga kepada rangkaian jalur lebar gentian optik dan dijangka bermula suku pertama tahun ini, yang mana akan dilaksanakan Telekom Malaysia Berhad (TM).

Katanya, NFCP terakhir membabitkan pemasangan kemudahan rangkaian dan pelaksanaan perkhidmatan rangkaian di kira-kira 740 lokasi di seluruh negara untuk penyediaan perkhidmatan selular awam dengan cadangan bagi projek ini dijangka dikeluarkan pada suku keempat tahun ini.

Berita Harian X