Jumaat, 28 Februari 2020 | 6:46pm
Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tan Sri Muhyiddin Yassin.

BERSATU, BN, PAS calonkan Muhyiddin PM ke-8

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Barisan Nasional (BN) dan PAS mencalonkan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai Perdana Menteri kelapan.

Berdasarkan kenyataan BERSATU, BN dan Muafakat Nasional yang terdiri UMNO dan PAS, petang ini, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU mendapat sokongan 96 Ahli Parlimen, setakat ini.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya, berkata pemilihan Muhyiddin diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Dewan Rakyat BERSATU yang dihadiri 36 Ahli Parlimen parti itu di Yayasan Al-Bukhary di Jalan Perdana, di sini, pagi tadi.

Petang tadi, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dalam kenyataan bersama mengumumkan 57 Ahli Parlimen Muafakat Nasional akan menyokong sepenuhnya pencalonan Muhyiddin.

Dalam kenyataan berasingan, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata 42 Ahli Parlimen UMNO, MCA dan MIC memberi sokongan penuh kepada Muhyiddin.

“UMNO dengan 39 Ahli Parlimen serta komponen BN khususnya MCA (dua Ahli Parlimen) dan MIC (satu Ahli Parlimen) telah bersetuju mencalonkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan,” katanya.

“Mesyuarat Ahli Dewan Rakyat BERSATU hari ini telah memutuskan untuk mencalonkan Presiden dan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan untuk perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Mesyuarat hari ini dihadiri oleh seramai 36 Ahli Dewan Rakyat BERSATU,” kata Marzuki dalam satu kenyataan.

Kesemua 36 Ahli Parlimen itu, termasuk 10 ahli Dewan Rakyat daripada kumpulan bekas Ahli Parlimen dari PKR, diketuai Ahli Parlimen Gombak yang juga bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mereka kini sah menjadi ahli BERSATU. Turut menyertai Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman; Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon; Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju dan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin.

Seorang lagi, Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar pula menjadi ahli bersekutu BERSATU.

BERSATU sebelum ini hanya mempunyai 26 wakil di Dewan Rakyat.

Rabu lalu, PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH), susulan peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin.

Ketika mengesahkan keputusan itu, Anwar yang juga Presiden PKR, berkata PH sudah memohon kepada Dr Mahathir untuk kembali bersama PH tetapi ditolak dengan keengganan Perdana Menteri interim berkenaan hadir mesyuarat yang diadakan.

Katanya, segala keputusan membabitkan perlantikan jawatan Perdana Menteri dan penubuhan kerajaan yang baharu kini diserahkan sepenuhnya di atas pertimbangan Yang di-Pertuan Agong.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X