Jumaat, 28 Februari 2020 | 11:02pm
Ahli Parlimen Alor Gajah Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof ditemu bual ketika hadir ke rumah Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara malam ini. - Foto BERNAMA
Ahli Parlimen Alor Gajah Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof ditemu bual ketika hadir ke rumah Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara malam ini. - Foto BERNAMA

Dakwaan BERSATU korbankan prinsip Tun M hanya mainan persepsi

KUALA LUMPUR: Dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengorbankan dan membelakangkan prinsip Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak bekerjasama dengan UMNO disifatkan sebagai mainan persepsi.

Sebaliknya, BERSATU mengamalkan prinsip tidak meletakkan kesalahan individu sebagai kesalahan parti berkenaan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Redzuan Yusof, berkata pihaknya atau sesiapa pun tidak wajar melabel keseluruhan ahli dan pemimpin UMNO sebagai kumpulan jahat seperti perompak dan pencuri.

“Ini (dakwaan) persepsi. Kita tak boleh katakan orang dalam sesuatu kumpulan itu jahat, perompak dan pencuri. Kita ada undang-undang menguruskannya.

"Kita tidak akan korbankan prinsip itu (prinsip tidak letakkan kesalahan individu sebagai kesalahan parti). Itu prinsip sama yang kami bawa dulu dalam Pakatan Harapan (PH)

"Saya yakin apabila kerajaan baharu ini terbentuk, kita boleh bergerak dengan lebih lancar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan kediaman Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam ini.

Terdahulu BH melaporkan, wujud percanggahan pendirian dalam BERSATU antara Dr Mahathir dan ‘kem’ Muhyiddin dalam mesyuarat yang berlangsung pagi tadi.

Pengerusi BERSATU itu tiba di perkarangan Yayasan Al-Bukhary di sini pada jam 9.10 pagi tadi bagi mempengerusikan mesyuarat khas, membabitkan 25 lagi Ahli Parlimen parti berkenaan.

Difahamkan, suasana mesyuarat hampir dua jam itu, berlaku dalam suasana tegang dengan menyaksikan Dr Mahathir meninggalkan pertemuan itu separuh jalan.

“Tun hanya masuk sekejap dan tinggalkan mesyuarat disebabkan pendirian BERSATU untuk bekerjasama dengan PAS dan UMNO,” kata sumber.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X