Sabtu, 29 Februari 2020 | 2:07pm
Pakatan Harapan menyatakan sokongan penuh kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri mereka.
Pakatan Harapan menyatakan sokongan penuh kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri mereka.

Kejutan pagi Sabtu, Tun M kembali dalam percaturan

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang bangun pagi Sabtu ini dengan harapan kemelut politik negara sudah hampir menemui penyelesaian dengan hanya dua gabungan politik yang masing-masing menawarkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri kelapan.

Namun, apa yang terjadi sejak pagi tadi membawa lebih banyak kejutan, dengan kebanyakan penganalisis politik pun sukar meramalkan apa akan berlaku seterusnya.

Sebelum jam 9 pagi, Pakatan Harapan (PH) yang semalam menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri mereka tiba-tiba membuat kejutan dengan menyatakan sokongan penuh kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri mereka.

Majlis Presiden PH dalam kenyataannya pagi tadi juga berkata PH adalah gabungan yang mendapat mandat jelas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan bertegas menentang sebarang usaha ‘kerajaan pintu belakang’ serta berpegang teguh akan terus memperjuangkan manifestonya.

Beberapa minit kemudian, Dr Mahathir juga mengeluarkan kenyataan yakin mempunyai sokongan majoriti untuk menubuhkan kerajaan dan dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, keputusan sebulat suara berkenaan dicapai menerusi mesyuarat dengan kepemimpinan PH, awal pagi tadi. Dr Mahathir juga menafikan menandatangani sebarang akuan bersumpah (SD) bagi menyatakan sokongan terhadap mana-mana individu, merujuk kepada pengumuman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri.

“Saya merujuk kepada kenyataan bahawa saya menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri (kelapan). Seperti yang ditegaskan sebelum ini, saya menolak sebarang kerjasama dengan individu yang terpalit dengan rasuah dan terbabit dalam pentadbiran kleptokrasi yang kerajaan PH bertungkus lumus tumbangkan.

“Pendirian ini saya kemukakan dalam mesyuarat Ahli Parlimen BERSATU, semalam. Malah, saya keluar awal daripada mesyuarat itu untuk memberi laluan perbahasan secara terbuka dalam kalangan Ahli Parlimen BERSATU supaya mereka berupaya memilih calon terbaik bagi menyandang jawatan Perdana Menteri,” katanya.

Susulan perkembangan terkini kedudukan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri PH, pemimpin kedua-dua parti gabungan iaitu Perikatan Nasional diketuai Muhyiddin dan PH sudah mula bergerak ke Istana Negara, masing-masing membawa jumlah kerusi yang diyakini mereka mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tiga, kiri); Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (tiga, kanan) dan Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (dua, kanan) memberi kenyataan kepada media di hadapan kediaman beliau sebelum keluar menuju ke Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tiga, kiri); Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (tiga, kanan) dan Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (dua, kanan) memberi kenyataan kepada media di hadapan kediaman beliau sebelum keluar menuju ke Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA

Kumpulan diketuai Muhyiddin bersama Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof yang pertama tiba di Istana Negara, disusuli beberapa pemimpin PH, tanpa kehadiran Dr Mahathir dan Anwar kira-kira jam 11 pagi.

Anwar pula dilihat memasuki Istana Negara kira-kira jam 1.30 tengah hari dan keluar beberapa minit kemudian.

Difahamkan, Dr Mahathir mungkin menghadap Yang di-Pertuan Agong sebelah petang.

Kenyataan Dr Mahathir pagi ini dan Ketua ARMADA BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, semalam, yang turut mengaku tidak pernah menandatangani SD mencalonkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan negara turut menimbulkan persoalan sama ada sudah ada bibit perpecahan dalam BERSATU yang kini turut disertai 10 Ahli Parlimen bekas PKR diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Keadaan menjadi semakin kusut susulan kenyataan balas Muhyiddin mengenai status Dr Mahathir sebagai Pengerusi BERSATU, tengah hari tadi, menjawab kenyataan awal Setiausaha Agungnya, Datuk Marzuki Yahya, bahawa Dr Mahathir yang mempunyai kuasa mutlak untuk memimpin parti itu selaku Pengerusinya.

Muhyiddin pula berkata, beliau kini memangku jawatan Pengerusi BERSATU, susulan keputusan Dr Mahathir berundur daripada jawatan itu pada 24 Februari lalu, selaras Fasal 16.9 perlembagaan parti itu yang menyatakan jawatan pengerusi akan kekal kosong sehingga pemilihan semula diadakan.

“Jika pengerusi berhenti atau diberhentikan, maka presiden hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan pemilihan untuk memilih pengerusi baharu. BERSATU belum mengadakan pemilihan untuk memilih pengerusi yang baharu, justeru saya selaku presiden memangku jawatan Pengerusi BERSATU sehingga pemilihan diadakan kelak,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan terbaharu Muhyiddin ini mencetuskan lebih banyak persoalan.

Namun, yang pasti percaturan ‘nombor’ mengenai siapa mendapat sokongan majoriti masih samar dan dijangka berlarutan. Walaupun Fadillah yang mewakili GPS berada bersama kumpulan Perikatan Nasional menghadap Agong pagi tadi, belum rasmi sama ada sokongan 18 Ahli Parlimen mereka kepada Muhyiddin mutlak.

Malah, sehingga kini Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang memiliki sembilan kerusi Parlimen belum membuat sebarang pengumuman terbaharu walaupun sebelum ini, Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Dr Mahathir.

Yang pasti, sehingga semalam, hasil temu bual dengan 222 Ahli Parlimen selama dua hari bermula Selasa lalu, Yang di-Pertuan Agong masih belum memperoleh keyakinan seorang Ahli Parlimen mendapat kepercayaan majoriti di Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu.

Sebagai jalan penyelesaian, Istana Negara memutuskan akan berhubung dengan ketua pimpinan parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat bagi memberi peluang kepada mereka mengemukakan pencalonan nama Ahli Parlimen sebagai bakal Perdana Menteri.

Selain itu, Istana Negara juga turut berkenan dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof untuk tidak memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 2 Mac ini seperti diumum oleh Perdana Menteri interim, Dr Mahathir, Khamis lalu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim di pintu 2 Istana Negara untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara bagi mengemukakan nama calon Perdana Menteri kelapan. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Datuk Seri Anwar Ibrahim di pintu 2 Istana Negara untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara bagi mengemukakan nama calon Perdana Menteri kelapan. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Sehingga semalam, jumlah nombor yang dijaja adalah 96 kerusi Parlimen untuk Muhyiddin, manakala Anwar 92. Namun, dengan perkembangan hari ini kedudukan nombor mungkin berubah kerana Anwar bukan lagi calon Perdana Menteri.

Tumpuan kini beralih semula kepada Yang di-Pertuan Agong yang bakal memilih Perdana Menteri mengikut Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Pengamal undang-undang, Datuk Salahuddin Saidin, berkata Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang Perdana Menteri dalam kalangan Ahli Parlimen yang pada hemat baginda berpendapat mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

“Apa yang Yang di-Pertuan Agong buat adalah keputusan yang amat bagus, menepati keperluan Perlembagaan. Selepas tiada Ahli Parlimen mendapat sokongan majoriti, baginda terpaksa membuat persidangan semula dan akhir sekali memanggil ketua parti mempersembahkan nama calon Perdana Menteri,” katanya.

Pengerusi Pusat Kepimpinan Universiti Malaysia Sarawak, Profesor Datuk Mohd Fadzil Abd Rahman, berpendapat dalam konteks kemelut sekarang, parti politik dari Sabah dan Sarawak. khususnya GPS dan WARISAN boleh menjadi penentu atau king maker.

“Mana-mana parti dari Semenanjung yang memerlukan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan akan banyak menghadapi cabaran untuk memancing ahli. Di sinilah Sabah dan Sarawak berupaya menjadi ‘king maker’ dalam menentukan calon Perdana Menteri,” katanya.

Kemelut politik negara sudah berlarutan hampir seminggu bermula dengan ‘Langkah Sheraton’, Ahad lalu, dan ketidaktentuan ini memberi kesan kepada ekonomi negara dan kestabilan politik, selain menambah keresahan rakyat.

Persoalan siapa Perdana Menteri kelapan tidak boleh dibenarkan berlarutan lama.

Harapan seluruh rakyat kini disandarkan kepada kebijaksanaan dan budi bicara Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan untuk membuat pilihan tepat bagi mengakhiri kebuntuan ini.

Berita Harian X