Ahad, 1 March 2020 | 12:21pm
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan surat cara pelantikan Perdana Menteri kelapan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara, hari ini. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan surat cara pelantikan Perdana Menteri kelapan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara, hari ini. - Foto BERNAMA

'Pelantikan Perdana Menteri tak boleh dilengahkan'

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilantik Perdana Menteri Ke-8 akan mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara pagi ini, sekali gus mengakhiri kemelut politik yang melanda negara sejak Ahad minggu lalu.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Muhyiddin selepas pada hemat baginda Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu yang juga Ahli Parlimen Pagoh mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Dalam kenyataan media Istana Negara yang dikeluarkan jam 4.29 petang semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri akan diadakan di Istana Negara pada jam 10.30 pagi ini.

“Hari ini, Istana Negara menerima senarai pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada ketua-ketua parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Rakyat yang bebas.

“Proses ini lanjutan titah Yang di-Pertuan Agong, di mana ketua parti politik dan ahli Dewan Rakyat yang bebas mengemukakan pencalonan nama ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri.

“Selepas mendapat representasi semua, pada hemat Seri Paduka, Ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti ialah Tan Sri Mahiaddin (Muhyiddin) Md Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh.

“Sehubungan itu Seri Paduka berkenan melantik YB Tan Sri Mahiaddin (Muhyiddin) Md Yassin sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Seri Paduka bertitah, proses pelantikan Perdana Menteri tidak boleh dilengahkan kerana negara memerlukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama.

“Seri Paduka juga bertitah bahawa ini adalah keputusan terbaik untuk semua dan baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik ini berakhir,” katanya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menandatangani surat cara pelantikan dihadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Foto BERNAMA
Tan Sri Muhyiddin Yassin menandatangani surat cara pelantikan dihadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Foto BERNAMA

Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada rakyat dan semua terbabit, khususnya agensi kerajaan, keselamatan serta media.

Kemelut politik negara tercetus apabila Tun Dr Mahathir Mohamad, bertindak meletakkan jawatannya pada 24 Februari lalu. Beliau kemudian dilantik sebagai Perdana Menteri interim oleh Yang di-Pertuan Agong.

Pemilihan Muhyiddin sekali gus mengakhiri percaturan saat akhir oleh Pakatan Harapan (PH) dengan memilih Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri mereka, pagi semalam, menggantikan calon awal iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pada sidang media pertama di pekarangan rumahnya di Bukit Damansara di sini susulan pelantikan sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin menzahirkan kesyukuran dan terima kasih kerana mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-8.

Beliau yang turut disertai isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, anak, menantu dan cucu, berkata: “Kita telah pun beristiqamah untuk menyatakan syukur atas anugerah yang diberikan Allah kepada saya.

“Saya hanya memohon untuk seluruh rakyat Malaysia menerima baik keputusan diumumkan Istana Negara.”

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hasan mengesahkan Muhyiddin memperoleh sokongan 114 Ahli Parlimen yang membolehkan beliau diberi perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Ke-8.

“Beliau dapat 114 sokongan (Ahli Parlimen). Ini bukan kerajaan minoriti, tapi majoriti daripada 222 (Ahli Parlimen),” katanya.

Selain 34 Ahli Parlimen BERSATU, Muhyiddin dilaporkan turut menerima sokongan 39 Ahli Parlimen UMNO, PAS (18), MCA (2), MIC (1). Difahamkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memiliki 18 kerusi Parlimen dan STAR (1) turut memilih menyokong Muhyiddin.

Walaupun diandaikan kemelut politik negara berakhir dengan pengumuman rasmi Istana Negara, ada pandangan perbezaan majoriti yang kecil akan dicabar apabila Dewan Rakyat bersidang pada 9 Mac ini. Dewan Rakyat mempunyai 222 kerusi Parlimen.

Ini berikutan dakwaan PH turut mempunyai sokongan 114 Ahli Parlimen dan sedang mengumpulkan bukti, termasuk akuan bersumpah, yang mencerminkan gabungan itu mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mendakwa bekas Menteri Kerja Raya, Baru Bian adalah Ahli Parlimen ke 114 menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Dr Mahathir malam tadi.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub, menjelaskan PH mempunyai sekitar 112 penyokong dalam kalangan Ahli Parlimen, setakat jam 4 petang semalam.

“Kita akan mengumpulkan bukti yang masih ada, dengan yakin dan percaya bahawa kita mampu untuk menunjukkan bukti dalam tempoh terdekat bahawa kita ada perangkaan yang mencukupi. Kalau diizinkan kita akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk tunjukkan bukti lebih kukuh,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Ketika berita ini ditulis, Majlis Presiden PH sedang bermesyuarat di Yayasan Al-Bukhary di sini, untuk memutuskan langkah seterusnya.

Sehingga malam tadi, Dr Mahathir belum memberikan sebarang komen mengenai keputusan Istana Negara dan apa tindakan PH seterusnya.

Pakar Perlembagaan yang juga Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata semua pihak perlu menerima dengan hati lapang dan tidak mempersoal ketetapan Yang di-Pertuan Agong berhubung pelantikan Perdana Menteri kelapan.

Katanya, ketetapan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dipersoal dan dirayu kerana Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicara baginda melaksanakan fungsi melantik seorang Perdana Menteri.

“Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa yang amat luas dalam melaksanakan budi bicara ini. Dalam Perkara 43(2) (a) disebut bahawa Yang di-Pertuan Agong melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang ‘pada hematnya mungkin’ mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

“Perkataan ‘pada hematnya’ dan perkataan ‘mungkin’ menggambarkan betapa luas budi bicara baginda,” katanya mengulas pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Ke-8.

Terdahulu, pagi Sabtu yang bersejarah ini menyaksikan beberapa perkembangan menarik dan mengejutkan apabila PH secara tiba-tiba mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri mereka menggantikan Anwar. Ia disusuli kenyataan Dr Mahathir yang yakin mempunyai sokongan majoriti untuk menubuhkan kerajaan dan dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-8.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, keputusan sebulat suara berkenaan dicapai menerusi mesyuarat dengan kepemimpinan PH, awal pagi semalam. Dr Mahathir juga menafikan menandatangani akuan bersumpah (SD) menyatakan sokongan terhadap mana-mana individu, merujuk kepada pengumuman BERSATU yang menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri mereka dengan sokongan BN, PAS dan beberapa parti lain.

“Saya merujuk kepada kenyataan bahawa saya menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri. Seperti yang ditegaskan sebelum ini, saya menolak sebarang kerjasama dengan individu yang terpalit dengan rasuah dan terbabit dalam pentadbiran kleptokrasi yang kerajaan PH bertungkus-lumus tumbangkan,” katanya.

Mulai jam 10 pagi hingga 1.30 tengah hari semalam, Istana Negara menjadi destinasi ketua parti yang bergabung dengan Perikatan Nasional dipimpin Muhyiddin dan PH dipimpin Anwar.

Kumpulan diketuai Muhyiddin bersama Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dan Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof, manakala Anwar memasuki Istana Negara kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Keadaan menjadi semakin kusut susulan kenyataan balas Muhyiddin mengenai status Dr Mahathir sebagai Pengerusi BERSATU, tengah hari semalam, menjawab kenyataan awal Setiausaha Agungnya, Datuk Marzuki Yahya, bahawa Dr Mahathir yang mempunyai kuasa mutlak untuk memimpin parti itu selaku Pengerusinya.

Muhyiddin pula berkata, beliau kini memangku jawatan Pengerusi BERSATU, susulan keputusan Dr Mahathir berundur daripada jawatan itu pada 24 Februari lalu.

Pada sebelah petang percaturan ‘nombor’ menjadi semakin hangat dengan Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang memiliki sembilan kerusi Parlimen menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir, diikuti beberapa Ahli Parlimen lain, termasuk Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik.

Seperti dianalisis Pengerusi Pusat Kepimpinan Universiti Malaysia Sarawak, Profesor Datuk Mohd Fadzil Abd Rahman, kelmarin, parti politik dari Sabah dan Sarawak, khususnya GPS dan WARISAN yang akhirnya menjadi penentu atau king maker siapa menjadi Perdana Menteri Ke-8.

Berita Harian X