Ahad, 1 March 2020 | 5:54pm

Kemelut politik masih belum berakhir

KUALA LUMPUR: Kemelut politik negara masih belum selesai walaupun Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sah menjadi Perdana Menteri kelapan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Profesor di Jabatan Pengajian, Kenegaraan dan Ketamadunan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Zaid Ahmad, berkata sukar untuk dijangkakan keadaan politik semasa dan semuanya bergantung kepada sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung bulan ini.

“Ada banyak perkara yang mungkin terjadi dalam sidang Parlimen, antaranya lompat parti yang tidak dapat dibayangkan kesannya. Sekiranya usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri dibuat, ada dua kemungkinan sama ada Muhyiddin akan kekal jika meraih sokongan dan terus menjadi pemerintah sekali gus menubuhkan Kabinet,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Berdasarkan pemerhatiannya terhadap situasi politik semasa, Zaid berkata, kedua-dua gabungan iaitu ‘Perikatan Nasional’ pimpinan Perdana Menteri dan Pakatan Harapan (PH) diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat mempunyai kekuatan hampir sama.

“Kelihatan kekuatan kedua-dua gabungan ini hampir sama iaitu 50-50. Jadi, tentu Muhyiddin perlu berhati-hati khususnya dalam lantikan menteri kerana ia perkara yang sensitif. Misalnya dalam UMNO, siapakah antara pemimpin mereka yang akan dilantik menjadi menteri kerana ada isu yang berbangkit,” katanya.

Beliau turut mendakwa konflik politik yang berpanjangan itu berpunca daripada golongan elit politik yang ‘mencatur’ tanpa mempedulikan soal rakyat.

“Rakyat sebenarnya melihat apa kerajaan ingin lakukan untuk mereka khususnya membaiki taraf hidup, itu yang ditunggu-tunggu. Ada banyak kesan jika konflik ini berterusan kerana mungkin ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyuarakan ketidakpuasan hati, tentunya perkara ini tidak baik kepada negara.

“Dalam hal ini, rakyat seharusnya berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana menguruskan konflik politik ini dengan sangat terkawal dan berjaya menunjukkan kepada dunia, Malaysia berada dalam keadaan baik,” katanya.

Sementara itu, pakar Perlembagaan Persekutuan dan peguam kanan, Datuk Salehuddin Saidin berkata, masih ada peluang untuk PH mencabar keabsahan pelantikan PM ketika ini.

“Bukan bermakna apabila PM sudah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan mengangkat sumpah ia penamat kepada segalanya.

“Jika benar PH mempunyai kepercayaan majoriti wakil rakyat, tunggulah sehingga sidang Dewan Rakyat dengan membawakan satu usul undi tidak percaya terhadap PM yang baharu dilantik,” katanya.

Selain itu, Salehuddin juga berkata, terdapat dua pilihan bagi Perdana Menteri sekiranya usul undi tidak percaya berkenaan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, iaitu pertama ialah Perdana Menteri boleh meletak jawatan dan kedua pula beliau boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk meminta baginda melaksanakan kuasa bagi pembubaran Dewan Rakyat.

“Ini tertakluk di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong, atas permintaan seorang Perdana Menteri. Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai beberapa pilihan sama ada setuju membubarkan Parlimen atau sekiranya tidak dipersetujui, maka Perkara 43 (2) (a) akan berjalan semula , selain boleh meminta Perdana Menteri meletakkan jawatan,” katanya.

Sallehuddin berkata, dalam membicarakan berkaitan Perlembagaan Persekutuan, masyarakat perlu tahu Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa yang amat luas dalam melaksanakan budi bicara.

“Apabila baginda memanggil semua Ahli Parlimen mengadap dengan melaksanakan proses pemilihan bagi menentukan siapa yang mendapat kepercayaan majoriti di bawah Perkara 43 (2) (a), ia dibenarkan oleh undang-undang. Dalam tempoh mereka dipanggil, angka sokongan kepada Perdana Menteri yang dicadangkan terus berubah dari semasa ke semasa.

“Justeru, Yang di-Pertuan Agong merasakan sudah ada calon yang mendapat kepercayaan majoriti, jadi mengapa kita hendak kacau kerana ia dilakukan mengikut perlembagaan,” katanya.

Salehuddin turut menjelaskan, pemilihan Perdana Menteri yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai tindakan tepat memandangkan ada dalam kalangan Ahli Parlimen yang bertindak melompat parti sehingga mengakibatkan konflik peralihan kuasa ini berlarutan.

“Pada ketika itu baginda merasakan Muhyiddin sudah mendapat kepercayaan majoriti. Tetapi ada pula yang bertindak melompat parti selepas Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan.

“Takkan mereka (Ahli Parlimen) ini menjangkakan Yang di-Pertuan Agong akan membuat pemilihan semula, sampai bila perkara ini akan berakhir. Jadi saya melihat baginda melakukan perkara yang betul dengan menamatkan proses pemilihan PM ini mengikut undang-undang,” katanya.

Berita Harian X