Ahad, 1 March 2020 | 9:03pm
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor. - Foto Sharul Hafiz Zam
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor. - Foto Sharul Hafiz Zam

PAS Kedah tak kalut umum siapa MB

ALOR SETAR: Sebarang pertukaran pada kepemimpinan kerajaan Kedah termasuk jawatan Menteri Besar tidak akan berlaku secara gopoh bagi menghormati amalan demokrasi di negara ini.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata PAS Kedah mahu menunjukkan amalan politik matang selepas pelbagai kemelut yang berlaku sebelum ini.

“Kita tak mahu kalut sangat, kita tak mahu rakyat nampak kita gopoh. Jika nak buat perubahan biar ia berlaku dengan licin, sempurna dan saling menghormati amalan demokrasi negara.

“Apa pun kita tunggu arahan PAS Pusat dari semasa ke semasa. Buat masa ini kita tunggu dan lihat perkembangan kerajaan Pusat yang baharu,” katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Ketika ditanya adakah PAS Kedah sudah mengadakan mesyuarat bersama UMNO Kedah sebagai persediaan menjadi kerajaan negeri baharu, Sanusi menegaskan belum masanya untuk memberi komen mengenai perkara itu.

Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah disebut antara calon bakal menggantikan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berikutan perubahan politik negara ketika ini.

Berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), kerajaan Kedah yang dibarisi kepemimpinan gabungan PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dijangka berubah berikutan langkah Mukhriz tidak menyokong pelantikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ketika ini menunjukkan PAS menguasai 15 kerusi, PKR (7), BERSATU (6), AMANAH (4), UMNO (2) dan DAP (2).

Berita Harian X