Isnin, 2 March 2020 | 8:08am

Muhyiddin mula tugas sebagai Perdana Menteri

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin, memulakan tugas rasmi Perdana Menteri pagi ini.

Beliau tiba di Bangunan Perdana Putra pada jam 7.55 pagi, disambut Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Terdahulu Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang tiba dan memasuki bangunan pentadbiran itu.

Sebelum memasuki pejabat, Muhyiddin mengimbas kad perakam waktu dan mengaminkan bacaan doa.

Selepas memasuki pejabatnya, beliau menandatangani buku selamat datang dan selamat bertugas.

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengimbas kad perakam sebelum memulakan tugas sebagai Perdana Menteri yang baharu hari ini di Perdana Putra, Putrajaya. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengimbas kad perakam sebelum memulakan tugas sebagai Perdana Menteri yang baharu hari ini di Perdana Putra, Putrajaya. - Foto BERNAMA

Muhyiddin, 72, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, semalam.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Muhyiddin itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memulakan tugas sebagai Perdana Menteri kelapan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memulakan tugas sebagai Perdana Menteri kelapan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - Foto BERNAMA

Perdana Menteri dijadual menziarahi pusara ahli keluarganya di Muar tengah hari ini dan menunaikan solat Zohor di Surau Hj Md Yassin.

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melambai ke arah media ketika memasuki pejabat pada hari pertama di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melambai ke arah media ketika memasuki pejabat pada hari pertama di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X