Isnin, 2 March 2020 | 3:29pm
KETUA Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media berkenaan status semasa kes jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan. - Foto BERNAMA
KETUA Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media berkenaan status semasa kes jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan. - Foto BERNAMA

COVID-19: Jumlah kes kekal 29, tiada kes baharu

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesahkan kes ke-26 COVID-19 sedang dirawat dan dipantau tetapi berada dalam keadaan stabil.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata lima kontak rapat keluarga, seorang pembantu khas kepada kes ke-26 dan seorang kakitangan kesihatan swasta juga disahkan negatif COVID-19.

“Siasatan dan pengesanan kontak rapat masih terus dijalankan.

“Sehingga kini, tiada kes baharu COVID-19 dilaporkan. Jumlah kumulatif kes sehingga hari ini kekal 29 kes; iaitu 17 orang dalam kalangan kes pesakit bawah pemantauan (PUI), 10 orang dalam kalangan kontak rapat dan dua orang dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.

“Daripada jumlah berkenaan, 15 orang adalah warganegara China, 11 orang warganegara Malaysia dan tiga orang adalah masing-masing dari Amerika Syarikat, Jepun dan Itali.

“Dari 29 kes positif ini, sebanyak 22 kes sudah sembuh dan dibenarkan pulang manakala tujuh kes masih menerima rawatan di wad isolasi di beberapa hospital di Lembah Klang. Kesemua kes ini dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau juga berkata kementerian masih menyiasat mengenai dua orang kenamaan yang dikaitkan dengan COVID-19 seperti yang ditularkan di media sosial hari ini.

Katanya, dua orang kenamaan berkenaan dikaitkan dengan pesakit kes ke-26 itu yang kini sedang dirawat dan dipantau di wad isolasi Hospital Sungai Buloh yang dalam keadaan stabil.

Dr Noor Hisham menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan berita mengenai kes jangkitan COVID-19 yang tidak disahkan oleh pihak kementerian bagi mengelakkan situasi panik dan salah faham dalam masyarakat.

“Pihak kementerian juga ingin menegaskan bahawa siasatan terhadap kes positif COVID-19 serta pengesanan kontak dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan dalam Garis Panduan Pengurusan COVID-19.

“Kontak rapat adalah mereka yang berhubung rapat dengan kes yang disahkan positif COVID-19.

“Ini terdiri daripada mereka yang mempunyai kontak rapat dalam lingkungan satu meter dengan kes positif COVID-19 seperti anggota kesihatan yang merawat kes tanpa memakai peralatan perlindungan diri (PPE) yang disarankan atau mereka yang tinggal dalam satu rumah yang sama,” katanya.

Tambahnya, hanya mereka dalam kategori kontak rapat kes positif yang akan disaring dan diambil sampel bagi ujian pengesanan jangkitan COVID-19.

“Individu yang mempunyai kontak dengan mereka yang sekadar disyaki dijangkiti COVID- 19 dan belum disahkan melalui ujian makmal, bukan dikategorikan sebagai kontak dan tidak diambil sampel.

“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri yang baik dengan sentiasa mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan ‘hand sanitizer’,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X