Isnin, 2 March 2020 | 4:44pm
Datuk Dr Mohd Hayati Othman.
Datuk Dr Mohd Hayati Othman.

Dr Hayati nafi dilantik MB

ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tokai, Datuk Dr Mohd Hayati Othman menganggap mesej tular mengaitkannya sebagai calon Menteri Besar Kedah sebagai permainan pihak tertentu sahaja.

Dr Hayati yang juga Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Kedah berkata, beliau tidak tahu mengenai perkara itu berikutan pelantikan Menteri Besar baharu akan ditentukan pucuk pimpinan PAS Pusat.

“Saya tidak tahu apa pun, saya memang terkejut. Dari pagi tadi ramai yang menghubungi saya bertanyakan mengenai hal itu.

“Kita tidak ada mesyuarat apa lagi untuk bincang mengenai calon Menteri Besar. Saja orang buat sahaja, mereka nak main-main kot,” katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Semalam, tersebar laporan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, dijangka dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Bagaimanapun, Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah menegaskan sebarang pertukaran termasuk kerajaan negeri tidak boleh berlaku secara gopoh bagi menghormati amalan demokrasi negara ini.

Dr Hayati yang juga bekas Ahli Parlimen Pendang berkata, beliau bersama 14 lagi ADUN PAS Kedah tidak akan mendahului kepimpinan PAS Pusat.

“Biar PAS Pusat selesaikan dahulu urusan kerajaan baharu bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan parti dalam Perikatan Nasional (PN).

“Mungkin dua tiga hari lagi baharu mereka akan tentukan kita di sini pula, saya harap orang ramai tidak mudah percaya khabar angin,” katanya.

Berita Harian X