Selasa, 3 March 2020 | 6:18pm
Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Patut tangguh sidang dua bulan

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan bermula Isnin depan, wajar ditangguhkan sekurang-kurangnya bagi tempoh dua bulan, kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berpandangan, kerajaan baharu di bawah gabungan Perikatan Nasional memerlukan masa untuk menyelesaikan beberapa perkara, antaranya pembentukan Kabinet dan pencalonan serta pelantikan Speaker Dewan Rakyat yang baharu, sebelum Parlimen boleh bersidang.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Ketereh itu tidak menolak kemungkinan sidang Dewan Rakyat pertama di bawah pentadbiran Perikatan Nasional mungkin diadakan ketika Ramadan atau selepas Aidilfitri.

Ramadan dijangka bermula 24 April dan Aidilfitri pula dijangka pada 23 Mei nanti.

“Wajar ada penangguhan tapi bukan kerana COVID-19. Sewaktu Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan, Parlimen hanya bersidang lebih dua bulan kemudian.

“Banyak perkara perlu disempurnakan oleh kerajaan sebelum Parlimen bersidang. Ia membabitkan pembentukan Kabinet, pencalonan Speaker, soalan Ahli Parlimen dan jawapan kerajaan dan lain-lain.

“Saya lihat mustahil tarikh yang ditetapkan kerajaan lama (9 Mac) dapat diteruskan. Apapun, Perdana Menteri perlu memberi notis baharu kepada Speaker.

“Kerajaan baharu memerlukan sekurang-kurangnya dua bulan sebelum boleh bersidang. Tidak mustahil kita bersidang semasa puasa atau selepas Hari Raya,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan 9 Mac, kini menjadi tumpuan berikutan hasrat PH yang mahu melaksanakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia susulan kemelut politik selama kira-kira seminggu, menyaksikan PH yang mentadbir selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kehilangan kuasa kepada Perikatan Nasional.

Perlembagaan Persekutuan menetapkan persidangan Parlimen perlu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas sidang terakhir diadakan.

Mengikut Perkara 55 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya.

Mengikut rekod takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen Ke-14 telah diadakan dari 7 Oktober hingga 5 Disember 2019.

Berdasarkan ketetapan itu, persidangan Dewan Rakyat seterusnya perlu diadakan sebelum 5 Jun depan.

Mengikut Takwim Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 2020, Dewan Rakyat dijadual bersidang tiga kali.

Mesyuarat pertama dijadual dari 9 Mac hingga 16 April (24 hari), mesyuarat kedua 20 Julai-27 Ogos (21 hari) dan mesyuarat ketiga 28 September hingga 19 November (32 Hari).

Berita Harian X