Selasa, 3 March 2020 | 11:42pm
Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman. - Foto NSTP/Sairien Nafis
Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman. - Foto NSTP/Sairien Nafis

Perhebat agenda perkasa Bumiputera - MTEM

KUALA LUMPUR: Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM) berharap agenda memperkasa Bumiputera perlu diperhebatkan dengan perubahan kerajaan baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman, berkata sasaran pencapaian Bumiputera perlu dinilai semula dan kerajaan perlu segera melaksanakan projek pembangunan ekonomi bagi menggerakkan ekonomi berdasarkan dasar utama di bawah Agenda Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030).

“WKB 2030 yang akan diteruskan diharap membuahkan hasil dalam merapatkan jurang ekonomi antara kaum dan mewujudkan ekonomi yang bernilai tinggi.

“Dasar penjimatan (austerity drive) untuk membuktikan mesej-mesej politik tidak perlu diteruskan kerana ia tidak memberi faedah kepada negara dan rakyat.

“Jangan dibiarkan falsafah ‘market forces’ yang menentukan nasib rakyat sebaliknya perlu ada ‘state intervention’ supaya taraf hidup semua rakyat khususnya Bumiputera ditingkatkan segera,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Ahmad Yazid berkata, kerajaan perlu mengukuhkan institusi kehakiman supaya kerajaan baharu ini dilihat lebih bermaruah dan berintegriti tinggi iaitu tidak menghentikan kes rasuah berprofil tinggi.

“Malah tadbir urus yang lemah dalam kerajaan perlu ditangani segera supaya sebahagian besar rakyat yang mengharapkan perubahan seperti Bumiputera, petani kecil, pesawah dan miskin bandar memperoleh manfaat sepenuhnya.

“Isu berbangkit seperti FELDA, Tabung Haji dan MARA perlu ditangani segera untuk mengembalikan kepercayaan rakyat,” katanya.

Katanya, tindakan pemecahan monopoli yang merugikan rakyat serta Bumiputera mesti diteruskan dan dilaksanakan dengan adil serta diberikan kepada syarikat milik kerajaan.

Parti politik yang bergabung dengan kerajaan baharu diharap sudah mengambil pengajaran daripada kekalahan mereka dalam Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan tidak membawa kembali budaya politik rasuah dan menggunakan nama Melayu dan Bumiputera untuk kepentingan peribadi.

“Integriti perlu ditegakkan untuk mendapatkan kembali kepercayaan rakyat dan menjamin pembangunan negara untuk semua,” katanya.

Berita Harian X