Khamis, 5 March 2020 | 6:57pm
Petugas pembersih memakai topeng muka perlindungan, berikutan coronavirus, ketika membersihkan lantai di Masjid di kota suci Mekah, Arab Saudi. -Foto REUTERS
Petugas pembersih memakai topeng muka perlindungan, berikutan coronavirus, ketika membersihkan lantai di Masjid di kota suci Mekah, Arab Saudi. -Foto REUTERS

Arab Saudi kuat kuasa larangan umrah, ziarah Masjid Nabawi sejak semalam

KUALA LUMPUR: Konsul Jeneral Malaysia di Arab Saudi, ‘Alauddin Mohd Nor mengesahkan kerajaan Arab Saudi mengeluarkan arahan larangan mengerjakan umrah termasuk bagi rakyatnya, selain menyekat ziarah ke Masjid Nabawi berkuat kuasa semalam.

Bagaimanapun, jemaah masih bebas melakukan ziarah di lokasi tumpuan lain dan dibenarkan berada di Masjidil Haram untuk menunaikan solat dan beriktikaf.

‘Alauddin berkata, kerajaan Arab Saudi tidak menetapkan jangka masa tertentu bagi sekatan berkenaan.

“Kerajaan Arab Saudi cuma memberitahu, larangan ini adalah sementara. Pihak kedutaan tidak dimaklumkan lebih lanjut dengan kebiasaannya sebarang pengumuman dibuat melalui media rasmi di sana.

“Justeru, selain penggantungan visa sementara yang diumumkan pada 27 Februari, kerajaan Arab Saudi juga turut menyekat pelaksanaan umrah sepenuhnya mulai semalam,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

‘Alauddin berkata, arahan penggantungan sementara itu susulan kebimbangan terhadap penularan wabak COVID-19 di negara berkenaan.

Minggu lalu, Arab Saudi menghalang kemasukan warga asing terutama daripada negara yang terjejas akibat COVID-19 ke Makkah dan Madinah.

Pengawalan ketat bagi mengekang wabak itu dilihat semakin meningkat apabila semalam Arab Saudi mengeluarkan arahan menghalang ibadat umrah dilaksanakan termasuk dalam kalangan rakyatnya.

Katanya, ia bagaimanapun tidak menjejaskan kira-kira 2,000 jemaah Malaysia yang masih berada di Tanah Suci kerana kebanyakan mereka berpeluang mengerjakan umrah sebelum larangan dikuatkuasakan.

“Kebanyakan daripada jemaah kita selesai mengerjakan umrah empat hingga lima kali. Setakat semalam, dua ejen pengendali umrah memaklumkan mereka sudah menasihati jemaah masing-masing supaya tidak berniat ihram.

“Mereka ini dalam kalangan kumpulan jemaah terakhir yang sudah mengerjakan umrah beberapa kali dan dijangka pulang ke tanah air secara beransur-ansur mulai hari ini sehingga minggu depan,” katanya.

Katanya, agensi umrah turut menyusun semula jadual perjalanan jemaah bagi memastikan mereka tidak perlu melalui prosedur pemeriksaan visa dan kesihatan yang ketat di pintu utama Makkah dan Madinah.

“Antara langkah diambil oleh ejen umrah seperti dimaklumkan semalam adalah menasihatkan jemaah yang kini berada di Makkah untuk tidak ke luar ke lokasi lain, begitu juga mereka yang kini di Madinah.

“Ia berikutan kebimbangan, sekiranya mereka keluar, maka sukar untuk masuk kembali kerana pemeriksaan yang ketat terutama bagi pemilik visa pelancong,” katanya.

‘Alauddin turut memberitahu, jemaah Malaysia dijangka tidak berdepan kesulitan untuk pulang ke tanah air kerana cuma syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) sahaja yang akan membatalkan penerbangannya dari Jeddah ke Kuala Lumpur berkemungkinan mulai 8 hingga 11 Mac ini.

“Syarikat penerbangan antarabangsa seperti Saudi Airlines, Etihad Airways dan Turkish Airlines masih mempunyai penerbangan ke Jeddah seperti biasa.

“Cuma penerbangan MAS mulai minggu depan akan membatalkan beberapa perjalanannya tetapi ia akan diganti dengan pesawat daripada syarikat penerbangan antarabangsa yang lain.

“Justeru, dijangka jemaah tidak akan terkandas tetapi cuma berlaku penangguhan bagi urusan pertukaran penerbangan lain membabitkan jemaah yang akan pulang ke tanah air,” katanya.

Mengulas implikasi sekiranya penggantungan sementara visa dan larangan mengerjakan umrah ini berlanjutan, ‘Alauddin berkata, ia sukar dijangka dan mungkin akan memberi kesan cukup besar khususnya bagi musim umrah menjelang Ramadan bulan depan.

“Jika penggantungan sementara ini reda dalam sebulan ini, keadaan akan kembali baik.

“Bagaimanapun, sekiranya ia berlanjutan sehingga Ramadan, kira-kira 20,000 jemaah Malaysia dijangka terjejas kerana ia musim puncak bagi ibadat umrah.

“Ia menyebabkan ramai pengusaha umrah akan terkesan tetapi sekurang-kurangnya pihak mereka boleh bersedia lebih awal dengan pelbagai kemungkinan,” katanya.

Sementara itu, menurut sumber BH di Arab Saudi, Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd akan membawa pulang 480 jemaah Malaysia melalui penerbangan MAS melalui Jeddah, esok.

“Setakat ini semua umat Islam termasuk rakyat Arab Saudi dan warga asing tidak dibenarkan melakukan umrah dan menziarahi Masjid Nabawi.

“Banyak penerbangan MAS harian ke sini dibatalkan, jadi Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd menempah satu pesawat MAS yang akan membawa kumpulan jemaahnya dan turut membawa pulang 280 jemaah daripada pelbagai agensi umrah yang masih berada di Tanah Suci,” katanya.

Berita Harian X