Jumaat, 6 March 2020 | 8:19am
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin. - NSTP/Royal Press Office
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin. - NSTP/Royal Press Office

Majlis angkat sumpah EXCO pagi ini

JOHOR BAHRU: Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor yang baharu dijadual mengangkat sumpah di Istana Bukit Serene, jam 8.30 pagi ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, dilaporkan sudah menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Pasir Pelangi bagi memohon perkenan senarai akhir barisan EXCO Johor, petang semalam.

Pejabat Menteri Besar juga sudah mengeluarkan jemputan media yang menyatakan kerajaan Gabungan Baharu akan mengadakan sidang media khas di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana, jam 10 pagi ini.

Sementara itu, nama yang dijangka bakal membarisi EXCO baharu Johor ialah Datuk Samsolbari Jamali (BN-Semarang), Ayub Jamil (BN-Rengit), Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN-Layang-Layang), Zaiton Ismail (BN-Sungai Balang) serta Pengerusi MIC Johor, R Vidyanathan (BN-Kahang).

Jawatan EXCO Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pula dijangka bakal dibarisi oleh Pengerusinya, Mazlan Bujang (Puteri Wangsa), Mohd Solihan Badri (Tenang), Tosrin Jarvanthi (Bukit Permai).

Satu-satunya ADUN PAS di Johor Kapten (B) Najib Lep (Bukit Pasir) dijangka turut disenaraikan bersama ADUN Bebas, Dr Chong Fat Full (Pemanis) yang mewakili kaum Tionghua di dalam barisan baharu EXCO.

Berita Harian X