Jumaat, 6 March 2020 | 7:35pm

28 kes baharu COVID-19 dikesan

PUTRAJAYA: Sebanyak 28 kes baharu jangkitan COVID-19 dikesan oleh Kementerian Kesihatan sehingga jam 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam satu kenyataan hari ini, berkata semua kes itu dikesan untuk rawatan selanjutnya manakala kontak rapat semua kes berkenaan sedang dikenal pasti untuk siasatan dan pengambilan selanjutnya.

Berikutan itu, katanya, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 83 kes dan mereka adalah dalam kalangan pesakit di bawah siasatan atau Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan COVID-19, kontak rapat, dan Misi Bantuan Kemanusiaan.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 65 orang adalah warga Malaysia, 15 warga China dan tiga individu membabitkan warga Amerika Syarikat (AS), Jepun serta Itali.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, seramai 956 kontak rapat sudah dikenal pasti dengan sebanyak 258 adalah kontak rapat kepada kluster yang berkaitan dengan kes ke-26 dikesan dan diambil sampel.

“Daripada kluster ini, seramai 18 orang disahkan positif COVID-19, 70 orang adalah negatif namun begitu mereka diletakkan bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah untuk tempoh 14 hari.

“Seramai 170 orang lagi berjaya dikesan dan masih menunggu keputusan makmal. Mereka ini juga diletakkan bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah.

“KKM masih menjalankan siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat masih diteruskan bagi mengenalpasti punca di mana kes mendapat jangkitan dan seterusnya mencegah penularan jangkitan itu,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, kes ke-24 yang disahkan positif COVID-19 sebelum ini sudah pulih dan dibenarkan discaj daripada wad Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Beliau berkata, kes itu sudah berjaya dirawat manakala semua kontak rapat bagi kes berkenaan berjaya dikesan dan penularan COVID-19 bagi kluster itu juga berjaya dibendung.

“Ini menjadikan 23 kes telah pulih sepenuhnya setakat ini daripada COVID-19 dan sudah discaj daripada wad,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KKM sudah menjalankan pengawasan COVID-19 bagi mengesan kes sporadik dan kes tempatan di Malaysia melalui pesakit influenza-like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara-negara yang terjejas atau kontak dengan kes positif COVID-19.

Katanya, sehingga hari ini, sebanyak 430 sampel sudah diuji dan tiada sampel dikesan positif jangkitan COVID-19 setakat ini manakala tiada kes sporadik COVID-19 yang dikesan melalui aktiviti pengawasan itu, pada masa ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X