Sabtu, 7 March 2020 | 2:29pm
Malindo Air mengarahkan kakitangannya untuk mengambil cuti dua minggu tanpa gaji dan potongan gaji 50 peratus susulan epidemik COVID-19. - Arkib NSTP
Malindo Air mengarahkan kakitangannya untuk mengambil cuti dua minggu tanpa gaji dan potongan gaji 50 peratus susulan epidemik COVID-19. - Arkib NSTP

COVID-19: Kakitangan Malindo Air diminta cuti tanpa gaji, potongan gaji 50 peratus

KUALA LUMPUR: Malindo Air mengarahkan kakitangannya untuk mengambil cuti dua minggu tanpa gaji dan potongan gaji 50 peratus susulan epidemik COVID-19 yang menjejaskan permintaan terhadap perkhidmatan penerbangan serta industri lebih luas, menurut satu memo dilihat Reuters.

Dalam memo dalaman yang dihantar, semalam, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri, berkata Malindo Air telah melaksanakan beberapa langkah untuk menghadapi kekurangan pendapatan.

Beliau berkata, ia termasuk menggantung penerbangan, merayu pembekal untuk penangguhan bayaran dan meminta kakitangan mengambil cuti tanpa gaji secara sukarela.

“Dengan hati yang berat, tanpa banyak lagi pilihan kukuh, kami kini tiada pilihan selain meminta anda masing-masing mengambil potongan hingga 50 peratus daripada gaji asas anda untuk beberapa bulan akan datang sehingga keadaan kembali normal,” katanya dalam memo itu.

Sebagai sebahagian daripada potongan gaji itu, kakitangan diminta mengurangkan bilangan hari bekerja mereka hingga 15 hari sebulan.

Setakat ini, Malindo Air belum memberikan maklum balas kepada permintaan untuk mendapatkan komen berhubung perkara itu.

Syarikat penerbangan di seluruh dunia berdepan cabaran perkhidmatan penerbangan terjejas akibat wabak itu, dan melancarkan kempen untuk meningkatkan permintaan ke laluan bebas masalah berkenaan.

Malindo Air dilaporkan menjadi syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang melaksanakan potongan gaji pekerja, namun Malaysia Airlines, AirAsia Group Berhad dan AirAsia X Berhad turut terjejas akibat penularan COVID-19. - REUTERS

Berita Harian X