Ahad, 8 March 2020 | 6:53pm
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA

6 lagi kes baharu positif COVID-19 - KP Kesihatan

PUTRAJAYA: Enam kes baharu COVID-19 dilaporkan, setakat tengah hari tadi, menjadikan jumlah kumulatif positif virus berkenaan yang memasuki gelombang kedua kini mencecah 99 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata semua kes baharu itu dikesan melalui kontak rapat bagi kluster kes ke-26.

“Semua kes ini dikesan ketika aktiviti pengesanan kontak dan dimasukkan ke hospital bagi isolasi serta rawatan lanjut.

“Aktiviti pengesanan kontak rapat masih dijalankan sehingga punca di mana jangkitan ini terjadi dapat dikenal pasti.

“Pertambahan enam kes baharu ini menjadikan jumlah kumulatif positif COVID-19 di Malaysia ialah 99 kes.

“Daripada jumlah itu, 18 kes dikesan dalam kalangan pesakit bawah pemantauan (PUI), kontak rapat (79) dan dua lagi daripada Misi Bantuan Kemanusiaan. Dua kes dilapor memerlukan bantuan pernafasan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi. Kes-kes ini juga diberikan rawatan antiviral,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada kes dilaporkan positif dalam gelombang kedua bermula kes ke-23 hingga kes ke-99, hanya lima dilaporkan dalam kalangan PUI dan mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

“Kes lain pula membabitkan kluster yang terdiri daripada kontak rapat dan mempunyai kaitan antara satu sama lain.

“KKM juga sudah menjalankan survelan COVID-19 bagi mengesan kes sporadik dan kes tempatan di Malaysia melalui pesakit influenza-like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara terjejas atau kontak dengan kes positif COVID-19.

“Hingga 8 Mac 2020, sebanyak 567 sampel diuji dan setakat ini, tiada sampel dikesan positif jangkitan COVID-19. Berdasarkan maklumat semasa, buat masa ini, tiada kes sporadik COVID-19 dikesan melalui aktiviti survelan ini,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham turut memaklumkan individu bagi kes ke-41 sudah pulih sepenuhnya.

“Kes ke-41 disahkan positif COVID-19 sebelum ini sudah pulih dan dibenarkan keluar daripada wad Hospital Kuala Lumpur. Ini menjadikan 24 kes sudah pulih sepenuhnya,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menasihati individu yang diarahkan menjalani pemantauan di rumah supaya sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, atau menggunakan hand sanitizer.

“Selain itu, mereka juga perlu segera mendapatkan rawatan dan mematuhi tatacara Perintah Pengawasan serta pemerhatian di rumah seperti yang ditetapkan.

“Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah ini adalah arahan termaktub dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X