Isnin, 9 March 2020 | 6:52pm
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan senarai nama menteri dan timbalan menteri yang baharu ketika sidang media di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan senarai nama menteri dan timbalan menteri yang baharu ketika sidang media di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Beberapa kementerian distruktur semula

PUTRAJAYA: Pengumuman barisan Jemaah Menteri Kabinet oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, turut menyaksikan penstrukturan semula beberapa kementerian.

Menyifatkannya sebagai memenuhi keperluan semasa, Perdana Menteri berkata, kementerian terbabit merangkumi Kementerian Pendidikan, Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Alam Sekitar.

Turut diumumkan adalah portfolio khusus mengenai Hal Ehwal Sabah dan Sarawak yang diketuai Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili sebagai Menteri.

Rombakan turut membabitkan Kementerian Pendidikan kerana struktur sedia ada dibebani bidang tugas amat besar dan mencabar kerana meliputi pendidikan dari peringkat prasekolah sehingga pengajian tinggi.

“Oleh yang demikian, saya memutuskan untuk mewujudkan semula Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) selain mengekal dan memperkasakan Kementerian Pendidikan.

“Dengan ini, KPT akan dapat memberi fokus kepada sektor pengajian tinggi dengan Kementerian Pendidikan memberi tumpuan terhadap pendidikan prasekolah, rendah dan menengah," katanya.

Muhyiddin berkata, Malaysia terkenal sebagai negara yang memiliki komposisi penduduk pelbagai kaum, budaya dan agama manakala perpaduan utuh pelbagai kaum menjadi penentu kelangsungan negara ini.

“Menyedari hakikat ini, Kementerian Perpaduan Negara akan ditubuhkan.

“Pada masa sama, aspek kelestarian alam sekitar penting dalam mewujudkan kehidupan lebih sejahtera untuk kita, anak-anak dan generasi akan datang.

“Sumber semula jadi negara mesti dipelihara dengan baik, justeru Kementerian Alam Sekitar akan diwujudkan,” katanya.

Portfolio Alam Sekitar sebelum ini berada bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga serius menangani isu pembangunan dan kemajuan sosio-ekonomi rakyat di Sabah dan Sarawak.

Justeru, katanya, Kabinet akan memastikan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diterjemah dalam bentuk dasar dan program yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk di Sabah dan Sarawak dengan mewujudkan satu portfolio khusus mengenai Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.

Berita Harian X