Selasa, 10 March 2020 | 11:32pm

KWSP di Jalan Raja Laut ditutup sehingga Jumaat

KUALA LUMPUR: Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Kuala Lumpur, Jalan Raja Laut ditutup sehingga Jumaat ini bagi menjalankan proses disinfeksi ke atas ruang pejabat dan kawasan persekitarannya.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan KWSP, penutupan itu rentetan terdapat dakwaan bahawa seorang individu yang membuat urusan di pejabat agensi itu pada 27 Febaruari lalu, disahkan positif coronavirus (COVID-19) dan sedang menerima rawatan lanjut.

“KWSP mengambil langkah proaktif dengan menutup pejabat berkenaan sehingga Jumaat ini dan akan beroperasi semula pada Isnin (16 Mac),” katanya kenyataan itu, di sini hari ini.

Seorang pencarum KWSP didakwa postif COVID-19 pada 3 Mac lalu, namun tiada sebarang pengesahan sama ada pesakit sudah dijangkiti dengan wabak itu sebelum berurusan di pejabat agensi berkenaan.

Sehubungan itu, menurut kenyataan KWSP, pegawai yang berkemungkinan terdedah kepada pesakit juga sudah dikenal pasti dan sudah dihantar untuk menjalani pemeriksaan selain dikuarantin.

Selain itu, KWSP juga menjalankan langkah awal pencegahan sejak Februari lalu untuk meminimumkan risiko pendedahan kepada COVID-19 dengan membersihkan secara berterusan semua kaunter dan permukaan yang terdedah di premis agensi itu.

“Pegawai kaunter juga diperlukan untuk membersihkan tangan mereka setiap 30 minit manakala pelawat juga perlu menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis KWSP, ” katanya.

Kenyataan itu berkata, ahli KWSP digalakkan untuk membuat transaksi secara dalam talian melalui aplikasi i-Akaun walaupun kaunter

KWSPdi lokasi lain beroperasi seperti biasa kecuali bagi urusan yang memerlukan kehadiran ke kaunter KWSP.

Katanya, ahli juga dinasihatkan untuk mengunjungi penyedia perkhidmatan kesihatan yang terdekat sekiranya mempunyai simptom yang berkaitan, sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan memakai peralatan perlindungan diri yang bersesuaian sebelum berurusan di kaunter.

“KWSP juga ingin meyakinkan semua anggota, ahli dan majikan bahawa kami sentiasa memantau perkembangan terkini COVID-19 dan akan melaksanakan sebarang langkah pencegahan yang diperlukan, ” katanya.

Berita Harian X