Rabu, 11 March 2020 | 10:47am
Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - Gambar fail
Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - Gambar fail

EPU diperkasa dalam penstrukturan baharu kementerian

PUTRAJAYA: Ketiadaan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam penstrukturan kementerian dalam Kabinet baharu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat sebagai satu keputusan memperkasakan semula Unit Perancangan Ekonomi (EPU).

Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa, berkata beliau melihat EPU kembali ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai satu agensi pusat.

“Memang asalnya Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), EPU berada di bawah JPM. Ia sangat efektif sebagai agensi pusat dan kali ini ada Menteri khas iaitu Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang telah ditugaskan sebagai Menteri di JPM yang bertanggungjawab mengenai ekonomi.

“Itu satu perubahan yang saya lihat. Selain itu saya lihat hampir semua kementerian lain ada.

“Isu Alam sekitar ini dalam objektif negara dalam menggalakkan pembangunan mampan atau sustainable development, memang amat penting. Saya rasa ia antara cara terbaik untuk negara kerana kita memberi penekanan terhadap alam sekitar dan menjaga alam sekitar kita dengan lebih baik, selain memberi penekanan kepada ekonomi,” katanya kepada Berita Harian, hari ini.

Beliau mengulas mengenai penstrukturan semula kementerian dalam Kabinet baharu yang menyaksikan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi kini tiada manakala Kementerian Alam Sekitar baharu diwujudkan semula.

Ditanya mengenai apa yang akan berlaku kepada agensi yang sebelum ini dikumpulkan bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Ali berkata, keputusan itu terpulang kepada Perdana Menteri dan Kabinet untuk menentukannya kerana agensi terbabit pernah sebelum ini berada di bawah beberapa kementerian lain termasuk Kementerian Kewangan.

Selain EPU, Tabung Haji, FELCRA, FELDA dan Khazanah turut berada di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Ali berkata, beliau berpendapat EPU perlu berdiri sendiri kerana ia bertanggungjawab terhadap bajet pembangunan yang khusus kerana ia akan menentukan kadar pertumbuhan ekonomi negara.

“EPU mempunyai tanggungjawab berat kerana peruntukan itu diagihkan mengikut kementerian dan jabatan dan memastikan sasaran pertumbuhan yang diunjurkan kerajaan tercapai.

“(Sebagai) Kementerian ia perlu ada bajet lain kerana ada agensi lain bawah kementerian,” katanya.

Namun, beliau berkata, dengan adanya empat Menteri Kanan menjaga kluster ekonomi, keselamatan, pembangunan infrastruktur serta pendidikan dan sosial, ia satu langkah baharu yang baik kerana banyak kementerian serta Menteri yang dipertanggungjawabkan mengikut kluster berkenaan.

Ia berikutan keutamaan kerajaan ketika ini adalah pertumbuhan ekonomi apabila kedudukan ekonomi bukan saja di negara ini, malah di seluruh dunia berada dalam keadaan tidak memberangsangkan.

“Kepakaran saya memang dalam ekonomi, berpengalaman selama 13 tahun dalam EPU, memang saya sokong memperkasakan EPU. Ini bagus kerana kali pertama ada kluster yang diketuai oleh empat Menteri Kanan.

“Penekanan kepada pembangunan ekonomi dan pada masa sama kita menjaga hal ehwal rakyat kita dari segi harga barangan dan banyak lagi.

“Dalam zaman kemerosotan ekonomi kita ada golongan B40 yang apabila berlaku kemerosotan ekonomi mereka yang tidak makan gaji akan cepat jatuh kepada paras kemiskinan.

“Itu yang kita perlu elakkan, kerajaan perlu adakan banyak program untuk membantu mereka,” katanya.

Berita Harian X