Rabu, 11 March 2020 | 1:40pm
Keadaan persekitaran Jonker Walk yang biasanya ramai pelancong, namun lenggang berikutan kesan COVID-19. STR/NAZRI ABU BAKAR
Keadaan persekitaran Jonker Walk yang biasanya ramai pelancong, namun lenggang berikutan kesan COVID-19. STR/NAZRI ABU BAKAR

COVID-19: Pelan hidupkan semula pelancongan

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan merangka pendekatan sesuai bagi menghidupkan semula industri pelancongan yang terjejas berikutan penularan COVID-19.

Perdana Menteri berkata, Datuk Seri Nancy Shukri akan menggubal pelan memacu semula industri pelancong dan perancangan itu dibentangkan untuk peritmbangan Jemaah Menteri dalam waktu terdekat.

Muhyiddin berkata, langkah itu berikutan kesan penularan COVID-19 terhadap beberapa industri yang menjana pendapatan negara, khususnya pelancongan yang setakat ini dijangka mengakibatkan kerugian tahunan menjangkau RM51 bilion.

“Isu yang lebih besar di sini adalah bagaimana hendak berdepan dengan masalah ini, iaitu COVID-19 kerana ia menjejaskan industri pelancongan.

“Justeru, kita bincang tadi untuk Kementerian Pelancongan (Kesenian dan Kebudayaan) kemukakan pendekatan khusus bagi membantu industri berkaitan.

“Kita nak tolong industri supaya mereka tidak berdepan kesan yang begitu teruk, menerusi pendekatan berkaitan untuk memastikan sektor pelancongan mampu membantu menjana pendapatan negara,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama, hari ini.

Kementerian Kesihatan sehingga 12 tengah hari ini mengatakan terdapat 20 kes baharu dikesan positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif di negara ini sebanyak 149 kes.

Susulan penularan COVID-19, Perdana Menteri hari ini melancarkan Tabung COVID-19 dengan dana permulaan RM1 juta, bagi bantu rakyat yang terjejas akibat tidak dapat bekerja kerana dikuarantin.

Muhyiddin berkata, kerajaan merayu semua pihak sama ada orang ramai dan syarikat menyumbang kepada tabung berkenaan yang akan diagihkan semula kepada pihak yang memerlukan.

“Kami melihat COVID-19 dengan serius. Dana ini bertujuan untuk membantu mereka yang dijangkiti virus, terutama pesakit yang kerja mereka terjejas semasa dikuarantin,” katanya.

Berita Harian X