Rabu, 11 March 2020 | 4:02pm
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi mahu membina hubungan baik dengan India untuk melonjakkan harga minyak sawit- Foto hiasan /GHAZALI KORI
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi mahu membina hubungan baik dengan India untuk melonjakkan harga minyak sawit- Foto hiasan /GHAZALI KORI

Malaysia akan bina hubungan lebih baik dengan India

KUALA LUMPUR: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali komited untuk membina hubungan lebih baik di antara Malaysia dan India, khususnya bagi melonjakkan eksport minyak sawit.

Eksport komoditi itu mengalami penurunan selepas jalinan di antara kedua-dua negara tegang susulan pertikaian politik yang dikaitkan dengan kritikan ke atas tindakan New Delhi di Kashmir, serta undang-undang kewarganegaraan baharu.

Beliau berkata, kementerian akan menghantar rombongan ke India secepat yang mungkin untuk menyelesaikan isu berkenaan menerusi perundingan.

“Kita akan sediakan kertas Kabinet untuk isu ini. Antara langkah awal kita dalam kerajaan baharu ialah membina hubungan dengan India (yang lebih baik) khusus berkaitan isu sawit,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, bagi kertas Kabinet itu, antara cadangan ialah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan lawatan rasmi ke India.

Selain itu, kementerian yang sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Industri Utama akan terus memperkukuh dan menambah baik dasar yang dibuat oleh kerajaan lalu.

Antara yang diberikan tumpuan ialah pelaksanaan Program B20 Biodiesel yang membabitkan adunan 20 peratus metil ester sawit (PME) dengan 80 peratus petroleum diesel bagi sektor pengangkutan.

Fokus beliau turut terarah untuk membantu golongan pekebun kecil getah melalui kenaikan paras harga Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

“Saya ada hasrat untuk menaikkan kadar IPG bagi getah sekerap kepada lebih tinggi tetapi kementerian kena kaji terlebih dahulu, dan saya berharap ia akan menjadi yang terbaik kepada penoreh getah,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X