Rabu, 11 March 2020 | 6:37pm
Dr Adham diberi taklimat ketika melakukan lawatan kerja ke AKEPT dengan diiringi Dr Noor Hisham, hari ini. - NSTP/Mohd Amin Jalil
Dr Adham diberi taklimat ketika melakukan lawatan kerja ke AKEPT dengan diiringi Dr Noor Hisham, hari ini. - NSTP/Mohd Amin Jalil

Tabung COVID-19: Wang ihsan RM100 sehari

NILAI: Wang ihsan melalui Tabung COVID-19 sebanyak RM100 sehari akan diberi kepada individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau tiada gaji sepanjang tempoh dikuarantin.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata tabung dilancarkan kerajaan bagi membantu rakyat yang terkesan dengan COVID-19 kerana tidak dapat bekerja susulan menjalani kuarantin itu, diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Beliau berkata, ia membabitkan mereka yang dikuarantin selama 14 hari atau menerima rawatan di hospital berikutan disahkan positif COVID-19 bawah Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sumbangan RM100 sehari akan diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau tiada gaji sepanjang proses kuarantin itu.

“Bagaimanapun, mereka yang mempunyai pendapatan tetap seperti kakitangan kerajaan, tidak layak menerima sumbangan ihsan daripada tabung berkenaan.

“Ini adalah wang ihsan bagi meringankan beban mereka yang terkesan dan tabung terbabit diuruskan oleh NADMA,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Bandar Enstek, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dan Timbalan Ketua Pengarah NADMA, Mohamed Zahari Razali.

Dalam pada itu, Dr Adham memaklumkan, pusat kuarantin COVID-19 di AKEPT akan ditutup, sekali gus mengucapkan terima kasih dan syabas kepada agensi yang terbabit dalam operasi berkenaan.

“Yang penting, semua agensi bertugas mendapat latihan baik dan pengalaman sangat berharga,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X