Jumaat, 13 March 2020 | 11:49am

Penganjuran SUKMA Johor akan diputuskan minggu depan

JOHOR BAHRU: Keputusan sama ada penganjuran temasya dwitahunan Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor 2020 yang dijadualkan berlangsung Julai ini akan diteruskan atau tidak, bakal diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa SUKMA minggu hadapan.

Pengerusi Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata keputusan muktamad akan diperoleh pada mesyuarat yang akan dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

“Kerajaan Johor mengambil maklum situasi semasa penularan COVID-19 yang semakin membimbangkan.

“Oleh itu, penganjuran SUKMA Johor 2020 akan diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa SUKMA yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan dalam masa terdekat.

“Insya Allah pada minggu depan mesyuarat berkenaan akan diadakan, ” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Semalam, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dilaporkan mencadangkan tarikh SUKMA Johor yang sepatutnya berlangsung Julai nanti dikaji semula selain menyokong penangguhan Sukan Olimpik Tokyo berikutan penularan wabak COVID-19.

Rabu lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dilaporkan berkata Kerajaan Johor tidak berhasrat untuk menangguhkan penganjuran SUKMA Johor 2020 berikutan semua persiapan sudah berada pada peringkat akhir.

Hasni dilaporkan berkata, pihaknya bagaimanapun akan terus memantau situasi jangkitan COVID-19 dari semasa ke semasa selain mengambil langkah pencegahan.

Berita Harian X