Sabtu, 14 March 2020 | 12:17pm
Kakitangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam memberi hand sanitiser (cecair pembasmi kuman) kepada orang ramai sebelum menunaikan solat jumaat sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan COVID-19 di negara ini. - Foto Faiz Anuar
Kakitangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam memberi hand sanitiser (cecair pembasmi kuman) kepada orang ramai sebelum menunaikan solat jumaat sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan COVID-19 di negara ini. - Foto Faiz Anuar

COVID-19: Pengurusan masjid, surau dinasihat amal langkah pencegahan

PUTRAJAYA: Ahli Jawatankuasa dan pengurusan masjid serta surau dinasihatkan mengambil langkah pencegahan dan pembersihan di masjid dan surau masing-masing, dalam menangani penularan wabak COVID-19 ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, yang berkongsi kenyataan ringkas dalam akaun Facebook miliknya pagi ini, berkata pihak pengurusan masjid dan surau juga disarankan kerap membersihkan permaidani, pintu dan selusur (railing) dengan menggunakan bahan pencuci dan bahan penyahjangkit (disinfectant).

“KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) ingin menasihatkan Ahli Jawatankuasa dan pengurusan masjid dan surau untuk mengambil langkah pencegahan dan pembersihan masjid serta surau masing-masing.

“Pengurusan masjid dan surau dapat mengingatkan dan mengesan ahli jemaah yang pernah ke perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling dan seterusnya memberi nasihat kepada mereka untuk disaring untuk melindungi mereka sendiri, keluarga dan masyarakat setempat,” katanya.

Sementara itu, melalui platform Twitter @DGHisham, Dr Noor Hisham turut menyarankan supaya jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan ijtimak di masjid sama dari 27 Februari hingga 1 Mac 2020 tidak solat berjemaah di masjid dan surau atau menghadiri solat Jumaat.

Katanya, ia terutama jika individu berkenaan mempunyai gejala selain tidak solat berjemaah atau solat Jumaat sehingga mereka disahkan sihat.

Dalam hantaran pada akaun Facebooknya, Dr Noor Hisham turut berkongsi beliau sudah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman pagi semalam, membabitkan perkembangan terbaharu serta tindakan berkenaan COVID-19 susulan penularan dalam perhimpunan keagamaan.

Khamis lalu, BH yang memetik Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, melaporkan, kes jangkitan COVID-19 yang dikaitkan dengan perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu ialah kluster baharu.

Susulan itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menetapkan aktiviti tabligh di semua masjid dan surau seluruh negeri itu ditangguhkan sementara, berkuatkuasa serta merta.

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad, dilaporkan berkata penangguhan berkenaan dibuat atas nasihat KKM susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X