Sabtu, 14 March 2020 | 4:40pm
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan isteri bebas COVID-19. - NSTP
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan isteri bebas COVID-19. - NSTP

Muhammad Shafee, isteri negatif COVID-19

KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bebas daripada jangkitan COVID-19 berdasarkan keputusan pemeriksaan yang diperolehnya.

Isteri Muhammad Shafee, Tania Scivetti juga didapati bebas daripada jangkitan itu.

Dalam mesej ringkas yang dibalas kepada BH, hari ini, beliau berkata ‘semua negatif’.

Peguam utama perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isterinya menjalani ujian berkenaan pada Khamis lalu di Hospital KPJ Damansara.

Semalam, pasukan pembelaan yang mewakili Najib mengemukakan dokumen bertulis kepada mahkamah mengenai ujian COVID-19 yang dijalani mereka.

Ia berikutan seorang ahli keluarga Muhammad Shafee mempunyai kontak rapat dengan individu disahkan positif jangkitan itu.

Pada prosiding berlangsung semalam, peguam Noor Farhah Mustaffa menyerahkan kepada Mahkamah Tinggi perintah isolasi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia yang dikeluarkan terhadap salah seorang ahli keluarga Muhammad Shafee yang mewakili Najib dalam kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana 1MDB.

Peguam itu turut mengemukakan dokumen daripada Hospital KPJ Damansara yang menyatakan Muhammad Shafee melakukan ujian di hospital itu dan dinasihatkan dikuarantin sehingga keputusan diperoleh semalam atau hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah kemudian memutuskan bahawa perbicaraan kes bersambung Khamis depan jika ujian ke atas Muhammad Shafee diputuskan negatif.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X