Ahad, 15 March 2020 | 3:06pm
Rahimi Ahmad (kiri) bersama isteri dan dua anaknya. FOTO Ihsan Rahimi
Rahimi Ahmad (kiri) bersama isteri dan dua anaknya. FOTO Ihsan Rahimi

"Masih terasa sakit, lepas setahun ditembak"

KUALA LUMPUR: Mangsa tembakan di Christchurch, New Zealand, Rahimi Ahmad berterima kasih kepada semua pihak, khususnya keluarga yang memberi kerjasama sepanjang proses pemulihan daripada tragedi terbabit, tahun lalu.

Rahimi, 40, sekeluarga kini masih menetap di Christchurch bagi menjalani prosedur fisioterapi dan beberapa rawatan susulan bersama pakar bedah di Hospital Burwood, selain anaknya perlu meneruskan persekolahan di sana.

“Dari peristiwa ini, saya dapat rasakan betapa kasih, sayang dan cinta yang tersemat dalam kalangan penduduk New Zealand amat erat, apatah lagi saudara seagama dari seluruh dunia. Maaf jika saya tidak senaraikan sepenuhnya. Terima kasih kerana sudah membantu kami.

“Alhamdulillah, walaupun kecederaan pada diri ini masih belum sembuh sepenuhnya kerana kaki kanan masih tidak dapat bergerak tetapi dengan doa dan kata semangat daripada isteri, anak, keluarga, sahabat serta tetamu amat memberi sepenuh rangsangan dan motivasi.

“Kadang-kadang luka di bahagian terkenan tembakan itu masih terasa sakit seperti ditikam dan kulit terbakar. Bagaimanapun, saya juga amat bertuah kerana syarikat saya bekerja sentiasa mengambil berat perkembangan kesihatan,” katanya kepada BH, hari ini.

Pada Mac tahun lalu, serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand mengorbankan 50 individu serta mencederakan puluhan yang lain, termasuk tiga rakyat Malaysia, pada jam 1.40 tengah hari (waktu tempatan).

Selain Rahimi, dua lagi rakyat Malaysia yang tercedera dalam serangan itu ialah Mohd Tarmizi Shuib, 43, dari Alor Setar, Kedah dan Mohd Nazri Hisham Omar, 47, dari Shah Alam, Selangor.

Selain itu, Allahyarham Mohd Haziq, 17, anak kedua Mohd Tarmizi terkorban dalam serangan di Masjid Al Noor.

Ketika kejadian Tarmizi bersama dua anaknya, Mohd Haris, 12, dan Mohd Haziq hadir untuk menunaikan solat Jumaat di masjid itu. Mohd Haris terselamat tetapi trauma.

Dalam pada itu, Rahimi mengakui keadaan anak sulungnya, Ahmad Razif, 12, yang masih mengalami trauma susulan kejadian terbabit, selain berusaha untuk mengatasi keadaan itu sebaiknya.

Akibat trauma mendalam dialami Ahmad Razif, anak kelahiran Bayan Lepas, Pulau Pinang ini mengambil keputusan untuk balik seketika ke Malaysia, selepas mendapat kebenaran daripada doktor di Hospital Burwood.

“Kami sekeluarga juga berpeluang menziarahi rumah ibu mentua di Mersing, Johor. Saya juga masih menyambung rawatan fisioterapi di kedua-dua negeri yang dilawati sepanjang berada di tanah air.

“Selain itu, kami sekeluarga berpeluang menjalankan ibadah umrah dalam usaha menguatkan rohani dan semangat Ahmad Razif. Alhamdulillah kami diuruskan dengan baik sepanjang di sana (Makkah),” katanya.

Berita Harian X