Isnin, 16 March 2020 | 9:29am
Rakyat Malaysia bebas memasuki Singapura seperti biasa kerana perintah larangan hanya membabitkan negara ASEAN yang lain, namun pemeriksaan kesihatan tetap dilakukan.- Foto BERNAMA
Rakyat Malaysia bebas memasuki Singapura seperti biasa kerana perintah larangan hanya membabitkan negara ASEAN yang lain, namun pemeriksaan kesihatan tetap dilakukan.- Foto BERNAMA

Sekatan masuk: Rakyat Malaysia dikecualikan

SINGAPURA: Sekatan sempadan baharu terhadap pengembara, termasuk dari ASEAN tidak membabitkan laluan laut serta darat di antara Singapura dan Malaysia yang membawa maksud, rakyat kedua-dua negara boleh melakukan perjalanan dari kedua-dua arah seperti biasa.

Pengerusi bersama Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian Singapura mengenai COVID-19, Lawrence Wong, berkata meskipun perintah itu terpakai kepada seluruh negara ASEAN, satu persetujuan berasingan disediakan untuk Malaysia menerusi kumpulan kerja bersama dua hala.

Pertimbangan khusus diberikan kepada Malaysia berdasarkan jarak yang dekat dan kesalingbergantungan yang tinggi di antara kedua-dua negara.

“Kita sememangnya perlu mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan jumlah orang dan kenderaan yang tinggi keluar-masuk dari semua pusat pemeriksaan ini,” katanya semasa mengumumkan langkah tambahan yang diambil Singapura bagi menangani situasi COVID-19 bermula tengah malam Isnin.

Berkuat kuasa pada tengah malam tadi, semua pengembara yang memasuki Singapura dan mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara ASEAN, Jepun, Switzerland atau United Kingdom dalam tempoh 14 hari lalu akan diberikan Notis Duduk di Rumah (SHN).

Wong, yang juga Menteri Pembangunan Negara, berkata di laluan darat sahaja, sejumlah 200,000 orang bergerak melalui pusat pemeriksaan setiap hari dan pengenaan syarat 14 hari SHN akan menyulitkan keadaan serta menimbulkan begitu banyak gangguan bagi kedua-dua negara.

“Jadi syarat 14 hari yang dikenakan tidak praktikal untuk semua pengembara ini dan kami perlu melihat langkah berjaga-jaga yang lain seperti memeriksa keadaan kesihatan mereka. Jadi, perbincangan masih berlangsung antara kedua-dua pihak,” katanya.

Perintah perjalanan terkini itu terpakai kepada Penduduk Singapura, pemegang Pas Jangka Panjang dan pelawat jangka pendek, namun bukan mereka yang melakukan transit di Singapura tanpa keluar dari kawasan transit.

Selain itu, mereka perlu memberikan bukti tempat mereka akan menjalani tempoh 14 hari SHN. Contohnya tempahan hotel yang meliputi keseluruhan tempoh itu, atau tempat kediaman yang mereka atau anggota keluarga mereka miliki.

Mereka juga mungkin akan diambil sampel untuk ujian bagi COVID-19, meskipun tanpa mengalami gejala kerana berdepan risiko jangkitan komuniti di negara asal dan bukti kes-kes yang diimport dari semua negara ini ke Singapura.

Selain syarat yang dikenakan SHN, mulai 16 Mac 2020, semua pelawat jangka pendek dari mana-mana negara ASEAN perlu mengemuka maklumat yang diperlukan mengenai keadaan kesihatan mereka kepada Misi Luar Negara Singapura di negara tempat mereka menetap sebelum tarikh perjalanan.

Ini perlu diluluskan Kementerian Kesihatan Singapura sebelum perjalanan dilakukan ke negara itu dan kelulusan itu akan disahkan pegawai Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di pusat pemeriksaan Singapura.

Pelawat jangka pendek yang tiba di Singapura tanpa kelulusan yang diperlukan akan dilarang memasuki negara itu dan mereka dinasihatkan untuk mendapatkan kelulusan sebelum membuat tempahan perjalanan. – BERNAMA

Berita Harian X