X
Isnin, 16 March 2020 | 6:04pm
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di Bangunan Perdana Putra hari ini. - fotoBERNAMA
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di Bangunan Perdana Putra hari ini. - fotoBERNAMA

Empat langkah perkukuh Pakej Rangsangan Ekonomi - PM

PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan empat langkah bagi memperkukuhkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) termasuk bagi menangani impak penularan COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkata langkah itu adalah bantuan kewangan bagi membantu pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji sebanyak RM600 setiap bulan untuk tempoh maksimum enam bulan.

Beliau berkata, bantuan layak untuk pekerja yang diberi notis tanpa gaji mulai 1 Mac 2020 dan pencarum Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) dengan gaji tidak melebihi RM4,000 sebulan.

“Langkah ini membabitkan peruntukan sebanyak RM120 juta. Seramai 33,000 pekerja disasarkan menerima faedah itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) di pejabatnya, hari ini.

Kerajaan juga akan memperluas pemberian diskaun caj elektrik sebanyak dua peratus untuk pengguna domestik serta sektor lain termasuk komersial, perindustrian dan pertanian.

“Dalam PRE pada 27 Februari 2020, kategori perniagaan terjejas berikutan COVID-19 terutama sektor pelancongan akan menerima diskaun 15 peratus bagi penggunaan elektrik untuk tempoh enam bulan bermula 1 April hingga 30 September.

“Mengambil kira penularan COVID-19, kerajaan memutuskan memberi diskaun dua peratus bagi semua pengguna lain dalam sektor komersial, perindustrian dan pertanian serta pengguna domestik bermula 1 April hingga 30 September. Langkah diskaun ini dijangka membabitkan anggaran peruntukan RM500 juta,” katanya.

Beliau turut mengumumkan pembayaran awal bagi Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM200 kepada setiap penerima pada hari ini iaitu diawalkan dari tarikh asal pada Mei.

“Bayaran berjumlah RM760 juta ini akan memanfaatkan seramai 3.8 juta isi rumah BSH. Bayaran tambahan sebanyak RM100 seperti mana yang diumum dalam PRE akan dibayar pada Mei dan bayaran tambahan Mei ini membabitkan RM500 juta, memanfaatkan lima juta penerima,” katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga memutuskan pelaksanaan projek-projek kecil berjumlah RM2 bilion yang diumumkan dalam PRE akan mula dilaksanakan bulan depan.

Pelaksanaan semua projek berkenaan akan dipantau oleh Ketua Setiausaha Negara dan laporan mingguan akan diberikan kepadanya.

“Projek-projek ini akan memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur luar bandar dan akan dilaksanakan oleh kontraktor-kontraktor Bumiputera kecil.

“Kementerian Kewangan sudah mengeluarkan Pekeliling berkuat kuasa 16 Mac lalu untuk menaikkan siling cabut undi daripada RM50,000 kepada RM100,000 dan sebut harga daripada RM500,000 kepada RM800,000.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X