Isnin, 16 March 2020 | 6:05pm
Tiada solat berjemaah di masjid Wilayah Persekutuan mulai esok.- foto hiasan BERNAMA
Tiada solat berjemaah di masjid Wilayah Persekutuan mulai esok.- foto hiasan BERNAMA

COVID-19: Tiada solat berjemaah di Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Solat Jumaat dan sembahyang berjemaah di masjid Wilayah Persekutuan ditangguhkan selama 10 hari bagi membendung penularan COVID-19, bermula esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, berkata keadaan di negeri lain bergantung kepada keputusan pihak berkuasa agama masing-masing.

Beliau berkata, jawatankuasa masjid dan surau juga disaran menjalankan kerja pembersihan dan penyahkuman sebagai langkah keselamatan bagi mengelak jangkitan COVID-19.

Selain itu, katanya, pengurusan jenazah yang maut akibat COVID-19 juga perlu dilaksanakan mengikut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Ke-107, iaitu hukum pengurusan jenazah Islam disyaki atau disahkan menghidap Ebola.

“Kelonggaran diberikan jika ada kemungkinan wujud kemudaratan kepada nyawa manusia menguruskan jenazah dan ia boleh diuruskan melalui prosedur tayammum di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik jenazah terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pengumuman dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Setakat jam 5 petang tadi, tiga individu dikesan positif jangkitan COVID-19 dan dikaitkan dengan kluster jemaah tabligh, dimasukkan ke wad unit rawatan rapi (ICU) dan mereka antara 12 pesakit dirawat menggunakan mesin bantuan pernafasan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, menjelaskan mereka antara 12 pesakit di ICU setakat hari ini, yang menggunakan mesin alat bantuan pernafasan.

Berita Harian X