Selasa, 17 March 2020 | 12:31pm

COVID-19: 'Minda mesti positif, amal gaya hidup sihat'

KUALA LUMPUR: Individu yang dijangkiti COVID-19 perlu bersikap tenang dan positif kerana pesakit masih boleh sembuh walaupun belum ada vaksin bagi mencegah wabak berkenaan.

Bekas pesakit COVID-19 yang juga Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia, Ariffin Mamat, berkata COVID-19 sebenarnya masih boleh dirawat jika individu terbabit sebelum itu mengamalkan gaya hidup sihat.

“Virus COVID-19 seperti kita kena selsema dan badan kita sendiri boleh melawan kuman itu. Jadi, untuk diri kita melawan kuman, minda perlu positif dan kita kena ada harapan sembuh, jangan berputus asa.

“Kita jangan rasa sedih, takut dan menggunakan masa dengan sebaik mungkin dengan tidur yang cukup. Sebenarnya, apabila badan kita kuat dan menjaga kesihatan sebelum itu, kita akan mudah melawan penyakit,” katanya berkongsi pengalaman ketika ditemu bual pada program Bicara BH khas berkaitan COVID-19, semalam.

Ariffin disahkan positif COVID-19 pada 5 Mac lalu dan dikuarantin di Hospital Sungai Buloh untuk mendapat rawatan kesihatan, sebelum disahkan bebas daripada virus itu beberapa hari lalu.

Beliau berkata, dirinya tidak ada simptom seperti demam teruk dan selsema, namun doktor mengesahkan positif COVID-19 disebabkan ada berhubung rapat dengan individu yang lebih awal disahkan positif.

Katanya, beliau juga tidak diberikan ubat khusus merawat COVID-19 oleh hospital, sebaliknya hanya mendapat rawatan dari simptom batuk dialaminya.

“Saya sebenarnya tidak ada simptom, hanya batuk sikit-sikit. Kami (pesakit) ditempatkan di satu bilik dihuni empat orang, semua positif. Setiap orang ada simptom masing-masing, ada demam dan batuk.

“Ubat yang diberi hanya untuk melawan (memulihkan) simptom (seperti batuk). Jadi badan kita kena kuat dari segi mental, emosi supaya kita positif dan kuat melawan virus ini. Virus tidak mahu ada dalam badan apabila kita kuat,” katanya.

Beliau sebelum itu hadir dua kali ke hospital untuk mendapatkan pengesahan sama ada dirinya positif COVID-19 atau tidak dan hanya tahu selepas sampel diuji makmal.

“Virus ini sangat senang berjangkit. Selepas mengetahui ada kontak pada satu majlis yang saya hadiri disahkan positif, saya terpanggil membuat saringan. Saya juga mengambil langkah proaktif untuk mengenal pasti kontak rapat,” katanya.

Beliau juga mengarahkan individu yang rapat dengannya supaya membuat saringan kesihatan dan melakukan pengasingan diri bertujuan mengelak virus ini tersebar kepada individu lain.

Selain itu, Ariffin berterima kasih dan memuji sikap semua petugas kesihatan yang positif dan berhemah dalam merawat setiap pesakit COVID-19 biarpun berdepan risiko dijangkiti.

Ariffin menceritakan pengalaman ketika menjalani rawatan pada program Bicara BH khas berkaitan COVID-19, semalam.
Ariffin menceritakan pengalaman ketika menjalani rawatan pada program Bicara BH khas berkaitan COVID-19, semalam.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X