Selasa, 17 March 2020 | 2:31pm
MENTERI Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto Danial Saad
MENTERI Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto Danial Saad

Perintah langkah terbaik bendung penyebaran - Azmin

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari yang diumumkan Perdana Menteri malam tadi adalah langkah ke depan terbaik untuk membendung penyebaran pandemik COVID-19.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata beliau menaruh sepenuh keyakinan terhadap sistem penjagaan kesihatan negara dan daya tahan rakyat Malaysia untuk menghadapi krisis ini.

“Kita perlu sama-sama berganding bahu dan bekerjasama rapat untuk menangani sebarang cabaran yang ditimbulkan oleh pandemik ini. Memetik Winston Churchill, ‘Let us therefore brace ourselves to our duties, and so bear ourselves’.

“Datanglah apa sahaja, kerajaan akan memastikan kebajikan rakyat tidak akan terjejas. Saya yakin dengan kemampuan dan ketabahan rakyat Malaysia menghadapi cabaran wabak COVID-19.

“Mari kita kukuhkan perpaduan dan persaudaraan menangani ujian ini. Mari kita berdoa supaya semua yang dijangkiti segera sembuh,” katanya dalam siri ciapan di laman Twitternya hari ini.

Malam tadi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bermula esok sehingga 31 Mac ini bagi mengekang penularan COVID-19.

Menerusi perintah itu, semua jenis perhimpunan termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya adalah dilarang, manakala semua rumah ibadat dan premis perniagaan perlu ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Malaysia turut mengenakan sekatan menyeluruh perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara, manakala bagi warga negara yang baru pulang ke Malaysia perlu melakukan kuarantin sukarela selama 14 hari.

Kemasukan pelancong dan pelawat asing pula disekat.

Selain itu, taska, sekolah, dan semua institusi pengajian awam dan swasta serta premis kerajaan dan swasta perlu ditutup, kecuali yang terbabit dengan perkhidmatan penting negara.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X