Selasa, 17 March 2020 | 5:12pm
SETIAUSAHA Sekretariat Jawatankuasa Khas COVID-19, Shahul Dawood pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Owee Ah Chun
SETIAUSAHA Sekretariat Jawatankuasa Khas COVID-19, Shahul Dawood pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Owee Ah Chun

PKS gesa pakej rangsangan ekonomi kedua

KUALA LUMPUR: Hampir 50 badan bukan kerajaan (NGO) membabitkan usahawan pelbagai industri dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS) menggesa kerajaan melaksanakan pakej rangsangan ekonomi kedua yang memberi keutamaan kepada sektor berkenaan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan akibat penularan coronavirus (COVID-19).

Setiausaha Sekretariat Jawatankuasa Khas COVID-19, Shahul Dawood, berkata pakej rangsangan kedua itu adalah kritikal bagi membantu pihak industri yang terjejas teruk akibat wabak ini berikutan dana RM3.5 bilion kepada PKS melalui pakej rangsangan ekonomi pertama sebelum ini didakwa tidak mencukupi.

Beliau berkata, satu memorandum yang mengandungi 10 tuntutan untuk pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi kedua itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan diserahkan seawal-awalnya hari ini.

Mengulas lanjut katanya, 10 tuntutan itu pertamanya membabitkan kebenaran penangguhan bayaran selama enam bulan membabitkan pinjaman dan kemudahan lain.

“Kerajaan juga diminta untuk memberi kebenaran menangguhkan kewajipan pembayaran caruman seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) selain turut mengurangkan peratusan sumbangan majikan seperti yang dilaksanakan sebelum ini.

“Pinjaman mudah juga harus dilaksanakan melalui pakej rangsangan ekonomi itu yang boleh dilakukan tanpa cagaran dengan kadar faedah minimum.

“Intipati keempat pula, kerajaan diminta mengecualikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk semua sektor sehingga Disember, ” katanya melalui sidang media, di sini hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Khas COVID-19 ditubuhkan oleh NGO pelbagai industri antaranya membabitkan Dewan Perdagangan dan Industri Kebangsaan Malaysia (NCCI); Dewan Perdagangan dan Industri Asean (ACCI); Perusahaan Kecil Sederhana (SME); Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA).

Pada masa sama, Shahul berkata, kerajaan juga diminta untuk memberikan insentif khas atau geran kepada perniagaan berasaskan teknologi digital dalam memudahkan operasi khususnya sepanjang tempoh perintah kawalan.

Katanya, selain itu pemansuhan serta-merta cukai pelancongan dan hiburan juga harus dilaksanakan selepas berakhirnya penularan COVID-19 di mana ketika itu orang awam sudah bebas ke mana sahaja.

“Bagi industri yang terkesan secara langsung akibat wabak ini, kadar cukai korporat juga harus diturunkan khususnya membabitkan sektor pelancongan, perniagaan berasaskan makanan dan minuman, mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).

“Untuk syarikat yang menggajikan pekerja daripada kumpulan B40, kerajaan harus melaksanakan pemotongan cukai berganda untuk membolehkan pembayaran gaji kepada pekerja tempatan, ” katanya.

Katanya, tuntutan kesembilan membabitkan penangguhan Tahun Melawat Malaysia 2020 dan projek berimpak rendah dengan menyalurkan peruntukan itu kepada semua usahawan terjejas.

Beliau berkata, tuntutan terakhir ialah meminta kerajaan supaya menggalakkan pemilik premis komersial supaya mengurangkan kadar sewaan sekurang-kurangnya sebanyak 50 peratus untuk tempoh enam bulan.

Pada 27 Februari lalu, kerajaan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion yang ditunjangi oleh tiga strategi iaitu menangani impak COVID-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X