Selasa, 17 March 2020 | 5:37pm
GAMBAR hiasan. - Foto Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. - Foto Arkib NSTP

COVID-19: Selangor larang buat kenduri kahwin

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menetapkan larangan mengadakan kenduri untuk meraikan majlis perkahwinan sesuai arahan Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara susulan penularan COVID-19.

JAIS dalam satu kenyataan memaklumkan, pasangan yang ingin melangsungkan majlis akad nikah di Selangor perlu mengikuti tatacara pelaksanaan yang dikeluarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula tengah malam ini hingga 31 Mac.

“Majlis akad nikah hendaklah dilangsungkan di premis persendirian dan dilarang sama sekali di tempat awam seperti masjid, surau atau sebagainya.

“Majlis akad nikah itu hanya boleh dihadiri oleh seorang pendaftar atau penolong pendaftar perkahwinan, pengantin lelaki dan perempuan, seorang wali, dua orang saksi serta dua orang wakil bagi pihak pengantin lelaki dan perempuan,” kata kenyataan itu.

Perjalanan majlis akad nikah haruslah tidak melebihi 20 minit termasuk khutbah nikah.

“Akad nikah dilangsungkan tanpa berjabat tangan antara pengantin lelaki dengan wali atau Pendaftar dan Penolong Pendaftar Perkahwinan,” kata JAIS.

Selain itu, langkah-langkah keselamatan yang dikemukakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hendaklah dipatuhi, termasuk berkaitan penyediaan cecair pencuci tangan, topeng muka dan jarak keselamatan antara individu.

Malam tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai esok hingga 31 Mac ini, di seluruh negara, bagi membendung penularan COVID-19.

Beliau berkata, perintah kawalan selama 14 hari itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967, membabitkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X