Selasa, 17 March 2020 | 11:19pm

COVID-19: Mangsa dikebumi malam ini

JOHOR BAHRU: Jenazah mangsa wabak COVID-19 yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah tengah hari tadi, dikebumikan di tanah perkuburan Islam di bandar raya ini, kira-kira jam 9 malam tadi.

Jenazah lelaki berusia 34 tahun itu, tiba kira-kira jam 8.15 malam tadi.

Kira-kira 10 lelaki dipercayai kakitangan hospital selain orang awam, mendengar taklimat sebelum memakai peralatan perlindungan peribadi.

Pada kira-kira jam 8.45 malam, mereka menghampiri van jenazah sebelum mengangkat jenazah yang siap dikafankan, menggunakan pengusung hospital.

Orang ramai termasuk media tidak dibenarkan menghampiri kawasan perkuburan sehingga selesai pengebumian.

Mangsa yang meninggal ialah kes-178, yang pernah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Beliau dilaporkan mengalami gejala demam mulai 5 Mac lalu, sebelum mendapat rawatan di Hospital Permai, di sini, pada 12 Mac selepas dikesan positif COVID-19.

Keadaannya didapati merosot dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum disahkan meninggal dunia tengah hari ini.

Isteri dan anak mangsa tidak menghadiri majlis pengebumian berkenaan kerana sedang dikuarantinkan di Hospital Permai.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X