Rabu, 18 March 2020 | 10:03am
ORANG ramai membeli barangan keperluan ketika tinjauan di sebuah pasar raya. - Foto BERNAMA
ORANG ramai membeli barangan keperluan ketika tinjauan di sebuah pasar raya. - Foto BERNAMA

Terus pantau stok barang keperluan - Lam Thye

Oleh Fahmy A Rosli

[email protected]

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melaksanakan pemantauan terhadap barang keperluan harian bagi mengelak orang ramai membuat pembelian panik di pasar raya, kedai runcit dan kedai serbaneka.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata langkah itu dapat memastikan stok makanan mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

"Sungguhpun Perdana Menteri telah menyatakan bahawa orang ramai tidak perlu risau dan jangan panik, akan tetapi kita pasti bahawa ada yang bergegas membeli barang keperluan dalam kapasiti yang banyak.

"Saya rasa ini adalah satu masalah yang perlu diambil berat oleh kerajaan dalam membuat pemantauan terhadap barang keperluan harian.

"Pihak kerajaan harus memastikan bahawa sumber makanan adalah mencukupi sepanjang tempoh dua minggu bermula 18 Mac hingga 31 Mac ini di pasar raya, kedai runcit, pasar awam dan kedai serbaneka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan dalam mendepani penularan pandemik COVID-19, Lam Thye berkata, pelaksanaan langkah waspada itu itu sesuatu yang tidak boleh dielakkan demi kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.

Oleh itu, beliau menegaskan supaya semua masyarakat perlu menerima dan memberi maklum balas positif kepada pengumuman perintah berkenaan dalam membantu rakyat serta negara mendepani penularan COVID-19.

"Rakyat masih dibenarkan untuk keluar, namun membataskan pergerakan. Saya rasa pengawalan pergerakan ini sangat penting supaya kita tidak terlibat dalam aktiviti kumpulan beramai-ramai atau secara besar-besaran di mana COVID-19 boleh menjangkiti dari individu ke individu.

"Melalui larangan acara melibatkan kumpulan masyarakat yang ramai, tindakan sedemikian dapat mengurangkan penularan COVID-19.

"Saya ingin mencadangkan semua agensi kerajaan terlibat dalam penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan, memberi maklumat mencukupi mengenai perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan oleh orang ramai dalam tempoh dua minggu," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X