Rabu, 18 March 2020 | 10:24am
DOBI layan diri tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa hari ini sehingga 31 Mac depan. - Foto hiasan
DOBI layan diri tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa hari ini sehingga 31 Mac depan. - Foto hiasan

COVID-19: Dobi layan diri perlu tutup

KUALA LUMPUR: Dobi layan diri tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa hari ini sehingga 31 Mac depan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memaklumkan, larangan itu adalah bagi mengelakkan orang ramai berkumpul di premis berkenaan.

Selain itu katanya, operasi pusat pengedaran yang membabitkan bekalan barangan keperluan dan makanan merangkumi gudang e-dagang dan perkhidmatan gudang sokongan dibenarkan untuk terus beroperasi.

Restoran, seksyen Sedia Dimakan (RTE) dan bakeri pula boleh dibuka tetapi hanya untuk makanan yang dibawa pulang dan pandu lalu atau melalui perkhidmatan penghantaran oleh syarikat tertentu manakala makan di kedai (dine-in) tidak dibenarkan.

“Bagi operasi medan selera, ia boleh dibuka tetapi hanya untuk makanan yang dibawa pulang saja atau melalui perkhidmatan penghantaran.

“Di pasar raya besar, hanya penyewa yang beroperasi dalam industri farmasi klinikal dibenarkan untuk terus beroperasi,” katanya dalam jawapan kepada soalan lazim bagi sektor peruncitan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, hari ini.

Kementerian turut menggalakkan pasar raya melakukan kawalan kendiri bagi menangani pembelian barangan makanan dan keperluan harian dengan jumlah yang tidak munasabah oleh pengguna.

Selain itu katanya, ibu pejabat syarikat peruncitan dibenarkan untuk terus beroperasi, namun pihak pengurusan syarikat perlu mengenal pasti sektor, bahagian atau unit yang perlu diklasifikasikan sebagai perkhidmatan penting untuk hadir bekerja di premis ibu pejabat, manakala selebihnya perlu bekerja dari rumah.

Bagi kerja pengubahsuaian yang sedang berjalan, kementerian menegaskan, ia perlu ditangguhkan.

“Jika terdapat isu keselamatan, pihak syarikat perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk kerja pengubahsuaian diteruskan,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X